26.1 C
Kuala Lumpur
Tuesday, October 19, 2021

Zii Jia cipta sejarah rangkul kejuaraan All England

Mesti Baca

JAGUH perseorangan negara, Lee Zii Jia mencipta sejarah apabila merangkul gelaran All England buat kali pertama selepas menyingkirkan juara bertahan Viktor Axelsen dalam aksi final di Birmingham, lewat malam tadi.

Pertarungan mendebarkan itu menyaksikan Zii Jia mempamerkan semangat juang tinggi sebelum melakar kemenangan 30-29 dalam set pertama ke atas pemain nombor dua dunia dari Denmark itu dalam masa 30 minit.

Dalam set kedua, Axelsen mula menguasai permainan dengan mendului 14-11 sebelum Zii Jia mengumpul mata demi mata sehingga merampas kedudulu dengan 18-14.

Bagaimanapun, Axelsen bangkit semula untuk mengejar mata dan berjaya memenangi set kedua dengan22-20 untuk membawa perlawanan ke set penentuan.

Set ketiga menyaksikan pemain Denmark itu jelas keletihan dan peluang itu tidak disia-siakan oleh Zii Jia apabila mengutip mata demi mata sebelum menang 21-9 dalam masa 74 minit.

Ini merupakan kemenangan kedua Zii Jia ke atas Axelsen daripada lima pertemuan. Dalam kejohanan sama tahun lalu, Zii Jia ditewaskan Axelsen di peringkat separuh akhir.

Baca juga:   Afghanistan jadi gerbang emas sawit Malaysia

Keputusan tersebut menyaksikan Zii Jia muncul pemain pertama negara merangkul gelaran berprestij itu selepas kali terakhir dimenangi jaguh dunia, Datuk Lee Chong Wei pada 2017.

Pemain berusia 22 tahun dari Alor Setar itu membawa pulang hadiah wang tunai AS$59,500 (RM244,344).

Sementara itu Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi Facebooknya mengucapkan tahniah dan syabas kepada Zii Jia kerana menjulang kejuaraan pertamanya tahun ini.

Baca juga:   Piala Sudirman: Malaysia tempah tempat ke separuh akhir

Perdana Menteri berharap Zii Jia menjadikan kemenangan tersebut sebagai perangsang untuk beliau bekerja lebih keras dan menjadi lebih cemerlang pada masa depan.

“Perjalanan karier anda masih jauh. Tahniah juga kepada BAM dan barisan kejurulatihan atas kejayaan ini. Syabas Lee Zii Jia! Anda wira kebanggaan negara,” kata Muhyiddin.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut mengucapkan tahniah kepada Zii Jia serta seluruh pasukan negara yang menyertai kejohanan itu.

“Saya dapat rasakan seluruh rakyat Malaysia turut bersorak memberi sokongan dan meraikan kejayaan yang manis ini. It was a superb and masterclass performance by Lee Zii Jia.

“Tahniah dan syabas juga buat Team Malaysia di sana — Peng Soon/Liu Ying dan Pearly/Thinaah yang turut mempamerkan prestasi yang membanggakan di bawah bimbingan Pengarah Kejurulatihan Wong Choong Hann dan barisan jurulatih BAM,” katanya menerusi Facebook. – Edisi 9

Baca juga:   Paralimpik Tokyo 2020: Liek Hou sumbang emas kedua negara

– Edisi 9

Terkini

PRN Melaka: UMNO, BN kerjasama dengan pihak lain belum rasmi

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan keputusan muktamad UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk bekerjasama dengan mana-mana...

Lagi Artikel Berkaitan