34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Xavier pula tinggalkan PKR, jadi wakil bebas sokong PN

Mesti Baca

CYBERJAYA – Lagi Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) meninggalkan parti.

Kali ini melibatkan Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar yang meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menjadi wakil bebas dan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Dengan keputusan tersebut, Xavier yang juga bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli ketika kerajaan PH pada 2018 lalu turut melepaskan kerusi Naib Presiden PKR yang disandang.

Beliau berkata, tindakan tersebut dilakukan kerana kerajaan ketika ini memerlukan sokongan bipartisan dalam usaha memerangi wabak Covid-19, vaksinasi dan memulihkan semula ekonomi.

“Sehubungan itu, saya mengumumkan peletakan jawatan sebagai Naib Presiden dan ahli PKR berkuat kuasa serta-merta.

“Saya akan terus berkhidmat di kawasan saya dan menyokong kerajaan sebagai Ahli Parlimen Bebas dan saya yakin akan dapat terus menunaikan janji pilihan raya kepada penduduk Kuala Langat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Xavier berkata, beberapa insiden yang berlaku sepanjang tahun ini, khususnya membabitkan usaha mendesak pilihan raya diadakan segera, menyebabkan beliau kecewa dan nekad meninggalkan satu-satunya parti yang pernah disertai sepanjang kerjaya politiknya.

Tegasnya, usaha mendesak pilihan raya diadakan segera bukan keutamaan ketika ini dalam keadaan negara masih berdepan gelombang ketiga COVID-19, sebaliknya menyokong usaha kerajaan mengekang penularan pandemik itu, mencipta peluang pekerjaan dan mendapatkan dana untuk memulihkan ekonomi negara.

“Sekurang-kurangnya 18 bulan diperlukan hanya untuk melengkapkan program vaksinasi dan lebih dua tahun untuk ekonomi pulih sepenuhnya.

“Ini memerlukan sokongan bipartisan untuk memastikan kejayaan usaha kerajaan. Rakyat perlukan kestabilan dan menghidupkan semula sektor ekonomi yang semakin lumpuh.

Surat pemakluman Xavier Jayakumar kepada Azhar Azizah berhubung kedudukan terbaharunya sebagai Ahli Parlimen Bebas.

“Untuk memastikan usaha ini berjaya, kita perlu bekerja bersama-sama, bukan menentang satu sama lain,” kata bekas menteri ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Xavier turut menyatakan pendiriannya sebagai Ahli Parlimen Bebas menerusi satu surat bertarikh 12 Mac 2021 kepada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan.

Dalam surat itu, Xavier memaklumkan beliau membuat keputusan menjadi Ahli Parlimen Bebas yang menyokong kerajaan, berkuat kuasa semalam.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengaitkan keputusan dibuat Xavier dengan kes yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Pagi ini, bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli PH umum keluar parti PKR untuk sokong kerajaan PN.
Secara kebetulan bulan lepas, YB ini dikaitkan dengan kes SPRM pembantunya serta kawan baiknya ditahan berkait kes rasuah di mana wang tunai RM1.2 juta disita, RM77 juta dalam akaun-akaun bank dibeku dan beberapa buah kereta mewah di rampas,” kata Najib menerusi Facebooknya.

Baru-baru ini media melaporkan, SPRM menahan Setiausaha Politik Xavier berhubung siasatan rasuah berkaitan kontrak perlombongan pasir di bawah kementerian yang diterajui Ahli Parlimen Kuala Langat tersebut. – Edisi 9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan