25.6 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Tiada kesan jika UMNO tarik diri daripada kerajaan – Tok Mat

Mesti Baca

Muhammad Muzamil
Muhammad Muzamil
Wartawan Edisi 9


CYBERJAYA – Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tidak ada sebarang kesan jika UMNO menarik diri daripada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada masa darurat.

Katanya, parti itu juga tidak mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan tarikh pilihan raya yang jelas tertakluk di bawah hak perdana menteri.

“Itu sebabnya dalam PAU (Perhimpunan Agung UMNO) ini kita hendak tengok apa sentimen, apa kehendak apa perlu kita lakukan, sebab dalam UMNO, kita parti yang mengamalkan demokrasi,” katanya dalam program Agenda AWANI.

Beliau berkata, UMNO tidak pernah memutuskan (hubungan) oleh desakan sesiapa, disebabkan oleh desakan kumpulan-kumpulan, segelintir orang, atau individu atau mana-mana pihak.

“UMNO buat keputusan atas dasar keterangkuman ahli yang ramai dalam parti kita. Jadi PAU ini tempat yang paling baik untuk kita memutuskan apa langkah yang patut kita lakukan untuk kita pastikan parti akan terus berada di tempat yang sepatutnya.

“Itu sebab saya katakan UMNO mesti menjadi induk, sebab UMNO tidak pernah menjadi pelakon tambahan, kita sudah biasa mentadbir, biasa jadi CEO, tiba-tiba jadi mandur susahlah,” katanya.

Dalam pada itu katanya, evolusi UMNO perlu dijalankan dengan betul dan tidak mengambil mereka yang pernah mengkhianati parti.

Beliau berkata, paling penting parti tidak mengharapkan belas kasihan orang lain untuk kembali berkuasa menjadi kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu menegaskan, UMNO juga perlu mengaplikasi langkah silat kombat untuk menumbangkan musuh politik pada PRU ke-15 nanti.

Tambahnya, parti perlu menilai langkah dan menyerang habis-habisan tanpa strategi dibaca lawan politik.

“Tiada yang sukar, boleh tapi sama ada hendak atau tidak sahaja, kita mesti belajar silat gayung, kita tengok langkah orang, bantai, terus jatuh. Ini kita main silat pulut, bersilat tak sudah-sudah tapi tak sampai-sampai.

“Janganlah pakai silat pulut, tunjuk macam itu, macam ini depan pengantin, tak tumbang lawan. Sesudahnya kita letih seorang.

“Kita mesti (pakai) silat kombat, jangan orang boleh baca langkah kita, kalau pakai bunga nombor dua, orang pakai bunga nombor empat, dipatahnya tangan kita.

“Jadi jangan kita melangkah dahulu, tengok langkah orang tetapi bila melangkah, orang tua-tua kata bila menikam tembus, memancung putus, menggantung tinggi, jangan tikam tak mati, dikejarnya kita balik,” tegasnya. – Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan