32.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Sri Lanka mahu haramkan burka, sekolah agama

Mesti Baca

CEYLON – Hak umat Islam Sri Lanka khususnya kaum wanita untuk berpakaian mengikut tradisi Islam mungkin tergugat sekiranya Parlimen negara itu meluluskan undang-undang mengharamkan burka dan lain-lain pakaian yang menutup muka.

Memetik laporan BBC, Menteri Keselamatan Awam Sri Lanka, Sarath Weerasekara berkata, beliau telah menandatangani perintah Kabinet dan ia sedang menunggu kelulusan Parlimen.

Larangan itu dijangka akan berkuat kuasa dalam masa terdekat.

Sebelum ini, larangan sementara terhadap pemakaian hijab yang menutup muka dikuatkuasakan oleh kerajaan ekoran serangan bunuh diri terhadap gereja-gereja Katolik dan hotel yang mengakibatkan lebih 250 mangsa maut pada April 2019.

Kumpulan militan Daesh mengaku bertanggungjawab terhadap siri serangan tersebut.

Kini kerajaan Sri Lanka mahu melaksanakan larangan itu secara kekal.

Weerasekara memberitahu bahawa burka merupakan simbol ekstremisme agama yang muncul baru-baru ini.

Beliau menambah, isu itu menjejaskan keselamatan negara dan larangan kekal sepatutnya dilaksanakan lama dahulu.

Pada masa yang sama, Weerasekara berkata, kerajaannya juga merancang untuk mengharamkan lebih 1,000 sekolah agama Islam yang didakwa bercanggah dengan dasar pendidikan kebangsaan.

“Tiada siapa pun yang boleh membuka sekolah dan mengajar apa sahaja yang mereka mahu kepada kanak-kanak.

“Ia mesti mengikut dasar pendidikan yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Kebanyakan sekolah tidak berdaftar hanya mengajar bahasa Arab dan al-Quran, itu tidak bagus,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Majlis Muslim Sri Lanka, Hilmi Ahmed berkata, pihak berkuasa boleh mengarahkan mereka yang memakai burka untuk membuka penutup muka bagi tujuan pengecaman.

Beliau berpandangan, setiap individu mesti dibenarkan memakai penutup muka tanpa mengira apa agama mereka.

“Perkara ini sepatutnya dilihat dari segi hak asasi dan bukan sekadar dari sudut keagamaan,” jelasnya.

Berhubung isu sekolah agama, Hilmi berkata, kebanyakannya berdaftar dengan kerajaan.

“Mungkin hanya lima peratus yang tidak mengikut peraturan dan sudah tentu tindakan boleh diambil terhadap mereka,” ujarnya.

Bulan lalu, sidang Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mempertimbangkan satu resolusi baharu berhubung isu hak asasi manusia di Sri Lanka termasuk layanan terhadap umat Islam.

Sebelum itu, Sri Lanka digesa mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar hak asasi manusia bagi memberi keadilan kepada mereka yang menjadi mangsa dalam perang saudara selama 26 tahun.

Walau bagaimanapun, negara itu menafikan dakwaan tersebut keras-kerasnya dan meminta negara-negara lain tidak menyokong resolusi berkenaan.

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan