28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

PKPD Kuarters Sri Jelutung, Pekan mulai 6 Mac

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Kuarters Sri Jelutung, Pekan, Pahang mulai esok hingga 19 Mac ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga 3 Mac, sebanyak 30 kes positif telah direkodkan dan seramai 150 kontak rapat telah dikenal pasti yang melibatkan penghuni kuarters ini.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan Kementerian Kesihatan melaksanakan saringan secara bersasar ke atas penghuni kuarters terbabit serta mengesan beberapa lagi kontak rapat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengumumkan PKPD di taman-taman perumahan sekitar Jalan Telok Ira, Temerloh, Pahang ditamatkan esok seperti yang dijadualkan.

Ismail Sabri menambah, sehingga kini, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan 1,573 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 94 kes positif COVID-19 telah direkodkan.

“Kementerian Kesihatan mengesahkan terdapat penurunan kes serta tiada lagi sampel saringan yang sedang menunggu keputusan,” jelasnya.

Berhubung tindakan penguatkuasaan, beliau memberitahu, seramai 246 individu ditahan polis semalam atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP).

Ismail Sabri berkata, daripada jumlah itu, 234 orang dikompaun manakala 12 lagi individu direman.

“Antara kesalahan direkodkan adalah gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (94), tidak memakai pelitup muka (55), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (37), tiada penjarakan fizikal (29), aktiviti pusat hiburan (16), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (13) dan lain-lain (2),” ujarnya.

Pasukan Petugas Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 73,659 pemeriksaan semalam, bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Seramai 3,495 Pasukan Pematuhan melibatkan 15,365 anggota telah membuat pemantauan di 6,335 buah restoran, pasar raya (4,621), bank (3,972), penjaja (2,900), pasar awam/tani (2,488), kilang (1,803) dan pejabat kerajaan (1,117).

Turut dipantau adalah tempat ibadah (3,562), tempat riadah (1,593), terminal pengangkutan darat (1,372), terminal pengangkutan air (301) dan terminal pengangkutan udara (126).

Beliau berkata, pasukan keselamatan juga telah menahan sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas dua kenderaan darat dalam Op Benteng di seluruh negara semalam.

“Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 106 buah bot/kapal di perairan negara melalui lima aktiviti penglihatan.

“Selain itu, seramai enam orang PATI turut diusir menerusi tiga aktiviti pengusiran,” katanya. – EDISI 9

Terkini

Siti Hajar, pendiam tapi aktif dalam aktiviti kemasyarakatan

BERBEZA dengan mahasiswa lain yang aktif di kampus, gadis ini sering dianggap pendiam, walaupun banyak menyertai malah turut berpeluang...

Lagi Artikel Berkaitan