24.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

PAU2020: Biarlah kita umpama ‘carik-carik bulu ayam’

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

Oleh ZAKARIA DULLAH

SEWAKTU saya mengambil alih jawatan Ketua Bahagian UMNO Simpang Renggam pada tahun 2018, tahun di mana UMNO bukan sahaja kehilangan kuasa pemerintahan pada bulan Mei.

Lebih parah daripada itu, UMNO mengalami sindrom ‘anak ayam kehilangan ibu’, tanpa arah tujuan, umpama hilang tempat mengadu, hanyut dan hilang fokus.

Sebuah parti politik yang punya imej kepartian yang sangat hebat bukan sahaja di negara ini tetapi juga cukup dikenali di merata negara asing.

Kesan daripada sindrom yang sangat membimbangkan itu, sebaik mengambil alih jawatan selaku Ketua Bahagian, saya bertekad untuk menghapuskan sindrom tersebut di peringkat Bahagian Simpang Renggam.

Saya berfikir, apabila kehilangan arah amat perlu sekali bagi saya selaku ketua atau nakhoda setempat untuk tidak turut hanyut dan dibawa arus ketidaktentuan tersebut iaitu saya perlu fokus.

Apakah fokus saya untuk UMNO bahagian?

Perkara pertama yang saya lakukan atau dalam bahasa Datuk Seri Mohamad Hasan, Timbalan Presiden pembaikian politik (political correctness) sebagai usaha fokus adalah merapatkan barisan kepimpinan di peringkat bahagian Simpang Renggam.

Saya menekankan falsafah kepimpinan bahawa tanggungjawab kepimpinan bahagian bukan hanya terletak di bahu ketua bahagian semata-mata.

Saya menggerakkan setiap peringkat atau strata kepimpinan bahagian sama ada dari sayap Puteri, Pemuda, Wanita, ketua-ketua cawangan untuk bersama-sama memperkemas dan menjenamakan kembali UMNO Simpang Renggam.

Ia agar kehadiran dan keberadaannya dirasakan dalam kalangan masyarakat di segenap peringkat sama ada dalam kalangan generasi Y, Z, X dan baby boomers.

Dalam erti kata lain, pembaikian politik kepimpinan UMNO Simpang Renggam saya fokuskan dengan memberi ruang, peluang dan kesempatan untuk setiap kepimpinan bahagian bukan sahaja memainkan peranan masing-masing, tetapi menyemai rasa dihargai dalam kalangan mereka.

Apabila rasa dihargai itu tersemai dan tertanam dengan baik dalam kalangan kepimpinan, agenda pembaikian parti bukan sahaja dapat dijalankan dengan baik tetapi disambut dan digerakkan tanpa perlu bercakap banyak dan memberi arahan bertubi-kali.

Semuanya dilakukan dengan sikap tanggungjawab bersama (collective responsibility).

Justeru, perkara yang sekali pandang dilihat kecil oleh kita selaku ketua, tetapi besar di mata kepimpinan bahagian, tidak saya pandang sebelah-mata atau mengambil sikap remeh-temeh.

Dalam misi bantuan untuk masyarakat Simpang Renggam sama ada bantuan banjir yang melanda tiga bulan yang lalu, misi bantuan sara hidup kesan daripada pandemik Covid-19.

Ini termasuklah perintah kawalan PKPPD Simpang Renggam, misi kebajikan masyarakat Simpang Renggam, saya mengambil pendekatan menonjolkan kepimpinan di bawah agar ke hadapan dengan masyarakat.

Foto dan gambar setiap Ketua Cawangan dicetak pada setiap material bantuan yang dihulurkan. Ini dilakukan bukan untuk tujuan berbangga diri atau meninggi diri tetapi bagi mewujudkan rasa kebertanggungjawaban tersebut.

Di samping itu, ia juga strategi serampang dua mata mendekatkan kepimpinan UMNO Simpang Renggam dalam kalangan masayarakat.

Saya lihat dalam teks Ucapan Dasar Presiden UMNO di muka surat 4 ada terpampang wajah beliau menghulurkan bantuan kebajikan (telur ayam), turut melakukan usaha yang sama.

Advertisements

Alhamdulillah, usaha yang dilakukan semenjak itu telah berjaya (walaupun tidak sempurna), merapatkan barisan kepimpinan UMNO Simpang Renggam dan yang lebih penting, menerapkan nilai kebertanggungjawaban dalam kalangan mereka.

Itulah fokus yang paling mendasar dan sangat penting dilakukan bagi sesebuah organisasi yang sebelum itu mengalami krisis politik dan kepimpinan yang sangat getir.

Usaha kedua yang saya lakukan adalah fokus untuk merapatkan jurang keberadaan kepimpinan UMNO Simpang Renggam dengan kepimpinan parti-parti politik asas Melayu seperti Pas dan PPBM.

Saya sedar dalam persimpangan (juncture) yang sangat getir ini, adalah penting untuk saya mengenengahkan sikap kepimpinan UMNO Simpang Renggam yang bernuansa jiwa besar.

Usaha duduk semeja dengan kepimpinan PPBM Simpang Renggam yang dulunya dalam satu “kolam” saya lakukan, tujuannya adalah untuk kepentingan rakyat dan kesejahteraan rakyat Simpang Renggam.

Usaha yang sama juga saya lakukan dengan kepimpinan Pas setempat. Dengan cara atau pendekatan ini membolehkan UMNO itu dilihat simbiosis bukannya antogonis.

Bukannya memalu gendang konflik dengan sekutu yang seagama dan sebangsa. Usaha atau pendekatan yang saya lakukan ini telah sedikit sebanyak memunculkan senario ‘malu-alah’ atau ‘malu-mata’ kepimpinan parti lain terhadap kepimpinan UMNO Simpang Renggam.

Usaha pembaikian seperti mana saya nyatakan di atas, tidak sekali-kali menjatuhkan martabat UMNO Simpang Renggam, malah dihormati dan disegani oleh kawan dan lawan.

Inilah yang dianjurkan oleh agama kita, huluran siraturahmi dan persahabatan, lebih-lebih lagi dengan rakan seagama dan sebangsa.
Kita dilarang sama sekali untuk mendendang langkah pemutus persahabatan.

Jiran saya adalah pendukung parti Pas dan dia tahu saya adalah pendukung perjuangan UMNO tetapi setiap kali saya ingin meninggalkan rumah untuk jangka masa yang agak lama atas urusan rasmi atau keluarga, jiran saya itulah yang saya dekati dan amanahkan untuk melihat-lihat rumah saya sepanjang ketiadaan saya dan keluarga.

Semua ini percayalah bakal menunjukkan cahaya jalanan yang positif bukan sahaja kepada UMNO tetapi juga kepada perjuangan bangsa Melayu itu sendiri.

Maka, atas alasan itulah, semenjak dua-tiga hari yang lalu, dalam tulisan-tulisan saya mengenai Pehimpunan Agung UMNO 2020, saya menganjurkan agar mengambil kesempatan persidangan ini untuk mengambil ketetapan yang bersifat terfokus bagi kepentingan bukan sahaja UMNO, malah lebih daripada itu, iaitu untuk kepentingan perjuangan bangsa Melayu.

Ya, UMNO iaitu adalah sebuah bahtera. Berapa ramai dalam kalangan kita menyelami dan menghayati maksud maksud bahtera itu? Bahtera itu adalah perjuangan iaitu perjuangan mengenai duduk-letak bangsa Melayu dan agama Islam.

Sebab itulah di negara kita ini difahami oleh bukan Melayu sebagai “Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu”.

Buat masa ini ada tiga buah organisasi yang mendukung bahtera yang sama tentang Melayu dan Islam, iaitu UMNO, PPBM dan Pas. Kita pernah bersama dalam satu organisasi sebenarnya, bukannya orang lain, sesama kita juga, agamanya sama, warna kulit pun sama.

Bezanya ada yang makan cincalok, tempoyak, ambuyat, tempe, budu, asam pedas, gulai lemak, tetapi semuanya disatukan dengan nasi, iaitu Melayu.

Pemimpin awal telah menyatukan kita semua suatu waktu dahulu di bawah satu bumbung. Jadi apa salahnya kita mengambil fokus dan iltizam yang sama.

Bukannya memalu gendang perpecahan. Kalau kita guna akal kita akan berakar, tetapi kalau kita bertindak atas dasar nafsu, buntulah kita.

Kita semua bangsa Melayu, jika ada perselisihan, perbezaan pendapat, seharusnya dilihat dalam perspektif carik-carik bulu ayam.

Ikhlas demi agama, bangsa dan watan

  • Datuk Zakaria Dullah merupakan Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam. Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan