CYBERJAYA – UMNO telah menghantar surat jemputan menghadiri Perhimpunan Agung parti itu kepada Pas pada 3 Mac lalu, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Menurut beliau, jemputan itu telah dihantar kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Ahmad yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkata, surat jemputan juga telah dihantar kepada semua presiden dan timbalan presiden parti-parti komponen BN dan juga Presiden Friends of BN.
“Untuk makluman, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim (Tuan Man) telah dijemput ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU2020) melalui surat bertarikh 3 Mac 2021
“Presiden dan Timbalan Presiden parti-parti komponen BN serta Presiden Friends of BN juga sudah dijemput,” katanya menerusi Twitter hari ini.
Semalam, Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya belum ada sebarang maklumat mengenai jemputan daripada UMNO untuk menghadiri perhimpunan agung parti itu yang bakal berlangsung pada 27 dan 28 Mac ini.
Timbalan Menteri Besar Kelantan itu berkata, setakat ini pihaknya belum mendapat surat jemputan daripada parti yang juga rakan Muafakat Nasional (MN) itu.
“Setakat ini belum ada maklumat. Saya tak pasti sama ada surat ada ke tak (dihantar ke PAS pusat) sebab saya sendiri tak ada maklumat.
“Kita belum terima jemputan untuk menghadiri perhimpunan itu. Cuma kebiasaannya kalau ada jemputan, ia akan dihantar kepada Pas Pusat.
“Jadi Pas Pusat yang akan menentukan siapa-siapa yang akan hadir,” katanya seperti dilapor Malaysiakini.
Sebelum ini, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, PAU 2020 mencatatkan sejarah tersendiri kerana julung kalinya akan diadakan secara kombinasi bersemuka dan maya.
“Ia diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan secara maya di 190 UMNO bahagian,” katanya.
Menurut Ahmad, Perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO akan dirasmikan Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan di Dewan Merdeka pada 27 Mac.
Perasmian PAU2020 pula oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 28 Mac, pukul 8.30 pagi di Dewan Merdeka.
Katanya, selepas ucapan perasmian, ketua-ketua sayap akan menyampaikan ucapan dasar di dewan ditetapkan. – Edisi 9