30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Kestabilan UMNO kunci kebangkitan parti – Hishammuddin

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

CYBERJAYA – UMNO tidak akan bangkit selagi kestabilan dalam parti itu tidak dibentuk di semua peringkat, kata Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Menteri Luar itu berkata, kestabilan juga penting bagi memastikan parti itu terus diyakini rakyat untuk memimpin negara, yang ikhlas mempertahan agenda Melayu-Islam.

Justeru, bekas Naib Presiden UMNO itu berkata, perhimpunan agung parti kali ini menjadi medan kritikal bagi akar umbu bercakap secara telus dan ikhlas terutama tentang hal-hal berkaitan kelangsungan dan masa depan parti.

“Inilah juga wadahnya, untuk kita rapatkan saf, kukuhkan kesatuan serta sama-sama menentukan hala tuju yang jelas demi masa depan parti kita.

“Perhimpunan kali ini mestilah berupaya menyerlahkan kestabilan UMNO di setiap peringkat yang berlandaskan semangat kebersamaan; kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada parti; serta ketaatan kepada pucuk pimpinan parti terutama institusi Presiden,” katanya menerusi laman webnya, hishammuddin.com hari ini.

Hishammuddin menegaskan, kestailan itu juga akan menentukan jatuh bangun UMNO dalam pilihan raya akan datang kerana perkara ini akan ditawarkan kepada rakyat berasaskan pengalaman yang panjang.

Katanya, agenda kesatuan Melayu Islam yang diperjuangkan UMNO di samping kesungguhan membela kaum-kaum lain bukan sahaja akan menjamin kestabilan masa depan UMNO malah wajib dipertahankan demi melakar masa depan Malaysia yang lebih gemilang.

“Justeru, semasa bersidang kelak, bincanglah dengan penuh hikmah dan bijaksana. Letakkan sepenuh kepercayaan kepada kebijaksanaan Majlis Kerja Tertinggi dan pucuk pimpinan untuk menahkhoda parti ke arah kestabilan yang amat kita perlukan sekarang.

“Marilah kita sama-sama berganding usaha dan memanjatkan doa kepada yang Esa, agar perhimpunan pada hujung minggu ini dapat membawa seluruh kebaikan kepada parti,” katanya.

Hishammuddin tidak bertanding dalam semua jawatan di peringkat Pusat dalam pemilihan parti pada 2018, iaitu selepas kegagalan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan.

Beliau sebelum ini dikatakan antara pemimpin UMNO menyokong kuat kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), malah turut dikaitkan sebagai calon Timbalan Perdana Menteri di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN). – Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan