29.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

SPRM boleh siasat pemimpin PAS 24 jam sehari

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – PAS sentiasa membuka pintu 24 jam sehari kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat mana-mana pemimpinnya yang memegang jawatan dalam kerajaan.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, dasar buka pintu 24 jam sehari itu mula diamalkan sejak PAS berjaya memenangi pilihan raya dan memerintah.

Menurut beliau, SPRM dibenarkan bertindak tanpa sebarang halangan terhadap semua Menteri Besar, Exco Kerajaan Negeri dan anggota kerajaan.

“Kita mengambil contoh daripada pemimpin PAS yang sudah meninggal dunia kerana orang yang masih hidup tetap masih berada dalam ujian.

“Alhamdulillah terbukti integriti Menteri Besar Kelantan yang memimpin selama lebih dua puluh tahun (1959-1978 dan 1990-2013), begitu juga di Terengganu (1959-1961) dan Kedah (2008-2013).

“Semua pemimpin ini tidak meninggalkan pusaka rumah banglo atau cuba mengambil kesempatan ketika mengecapi kemenangan dan memimpin kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan melalui laman Facebook beliau, hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu menambah, sehingga hari ini, pemimpin PAS yang masih hidup dapat membuktikan pentadbiran kerajaan yang bersih daripada rasuah dan salah laku.

Advertisements

Beliau memberitahu, begitu juga ketika PAS berada dalam kerajaan Pusat dari tahun 1973 sehingga tahun 1978, dan kini diuji bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“PAS juga mewajibkan calon wakil rakyat yang bertanding untuk berbaiah dengan sumpah setia demi Allah SWT,” jelasnya.

Pada masa yang sama, Abdul Hadi berkata, perkara itu tidak mengkhianati dasar dan konsep perjuangan, dengan keimanan kepada hukum baiah sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:

“Bahawasanya orang-orang yang berbaiah (berjanji setia) kepada kalian, sesungguhnya mereka berjanji setia kepada Allah. Tangan Allah di atas tangan mereka, maka sesiapa yang melanggar janjinya nescaya akibat ia melanggar janji itu akan menimpa ke atas dirinya sendiri dan sesiapa menepati janjinya kepada Allah, maka Allah akan memberikan kepadanya pahala yang besar.” (Surah al-Fath: 10)

Beliau menegaskan, semua ahli PAS beriman bahawa mereka yang melanggar baiah, atau keluar PAS atau meninggalkan PAS atau dipecat, pasti menerima hukuman Allah SWT di dunia dan akhirat, walaupun tidak terdapat hukuman oleh mahkamah kerajaan di alam dunia.

“Ini menjadikan hati orang-orang yang beriman membina integriti diri masing-masing, di samping adanya pemantauan daripada parti.

“Maka, mereka yang lemah atau bersifat oportunis akan gagal dalam pentarbiyahan, tersingkir atau tercampak keluar daripada bahtera PAS,” ujarnya. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan