28.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Daftar undi automatik, Undi18 tunda lepas 1 Sept 2022

Mesti Baca

Muhammad Muzamil
Muhammad Muzamil
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Pendaftaran pemilih automatik dan Undi18 dijangka boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022 setelah menilai semula pelbagai kekangan dan isu yang telah menjejaskan perancangan dan persiapan awal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, pihaknya bersikap realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

“Ini secara langsung menjejaskan perancangan dan persiapan SPR,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau menambah, SPR komited dengan pelaksanaan pendaftaran pemilih automatik dan Undi18 seperti yang telah diluluskan di Parlimen untuk
direalisasikan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada tahun 2023 berpandukan kepada Perkara 55(3) Perlembagaan Persekutuan.

Abdul Ghani memberitahu, SPR ingin menjelaskan bahawa persiapan ke arah pelaksanaan tersebut masih berjalan dan dalam tindakan sewajarnya.

“Ini termasuklah gerak kerja seperti pembangunan sistem, semakan dan penyelarasan data, program libat urus susulan bersama agensi kerajaan, parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) serta persiapan-persiapan lain yang berkaitan dengannya,” jelasnya.

Menurut beliau, berdasarkan kepada rekod terkini SPR, jumlah warganegara berumur 18 tahun dan ke atas adalah seramai 5.6 juta orang.

Abdul Ghani berkata, daripada jumlah tersebut, mereka yang berusia 18 hingga 20 tahun hanya seramai 1.2 juta orang.

“Manakala 4.4 juta orang adalah mereka yang berusia 21 tahun dan ke atas, yang mana telah pun layak tetapi masih belum berdaftar sebagai pemilih,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, SPR menyeru rakyat Malaysia yang berusia 21 tahun dan ke atas ini untuk segera mendaftar sebagai pemilih secara dalam talian melalui mysprdaftar.spr.gov.my atau hadir ke pejabat pilihan raya negeri atau pejabat pos yang berdekatan.

“SPR akan melancarkan sistem semakan pra-pendaftaran automatik melalui portal SPR pada bulan Ogos 2021, bagi membolehkan 5.6 juta bakal pemilih menyemak dan mengesahkan maklumat mereka.

“SPR juga sedang menyediakan satu laporan interim berhubung pendaftaran pemilih automatik dan Undi18. Laporan ini dijangka akan dikeluarkan pada bulan September 2021,” katanya. – EDISI 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan