25.5 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Ismail Sabri rela jadi pendamai, elak ‘berkelahi di tepi laman’

Mesti Baca

CYBERJAYA – Tindakan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri berdiam diri berhubung kemelut hubungan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bagi mengelak kelihatan ‘berkelahi di tepi laman.’

Mengakui berada dalam kedudukan sukar apabila kaki kanan berada di dalam UMNO manakala kaki kiri dalam kerajaan pimpinan PPBM, Menteri Kanan Pertahanan itu berkata, adalah lebih baik beliau berhati-hati dalam bersuara dan menggunakan saluran yang betul untuk menyuarakan pendapat.

“Isu dalam kita selesaikan secara dalaman. Sebenarnya, apabila timbul dua kumpulan yang bertentangan susah saya… kalau saya masuk kumpulan ini ataupun kumpulan itu, maknanya saya menambahkan lagi peperangan.

“Tidak ada kumpulan yang benar atau tidak, apa yang penting saya lebih suka menjadi pendamai,” katanya dalam wawancara khas bersama UMNO Online sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020.

Ismail Sabri berkata, walaupun setiap orang mempunyai pandangan tersendiri namun akhirnya parti adalah segala-galanya dan institusi itu perlu dijaha.

Katanya, adalah lebih baik beliau menutup atau menjadi pendamai bagi menyelesaikan isu-isu yang timbul bagi mengelak ia menjadi lebih parah yang akhirnya membawa perpecahan dalam parti.

Ismail Sabri antara pemimpin UMNO yang dikatakan tidak sehaluan dengan pucuk pimpinan parti berhubung kerjasama dengan PPBM dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Malah namanya juga dikaitkan dengan jawatan Timbalan Perdana Menteri dari UMNO, sekiranya kerjasama kedua-dua parti tersebut termeterai.

Advertisements

Ismail Sabri berkata, ramai yang tidak nampak bahawa beliau adalah antara pemimpin UMNO yang terawal mengeluarkan kenyataan ketika Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diasak supaya meletakkan jawatan.

“Sesetengah orang bersuara setiap hari sedangkan saya tidak sebegitu. Apabila ramai mengecam dan minta presiden letak jawatan sebelum ini, saya keluarkan kenyataan paling awal dengan mengatakan jangan kita serang presiden di luar.

“Kita ada ruang kita sendiri untuk bersama-sama mengemukakan pandangan. Jangan kita berkelahi di tepi laman kerana ia dilihat oleh orang ramai,” katanya.

Mengenai kedudukannya dalam kerajaan PN, Ismail Sabri berkata, beliau dan beberapa menteri lain perlu menjaga imej sebagai menteri dari UMNO dengan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaik-baiknya.

Selaku Menteri Kanan Pertahanan, tugas beliau adalah menjaga keselamatan serta kedaulatan negara daripada ancaman yang boleh nampak dan tidak boleh nampak.

Beliau menegaskan, ancaman terhadap negara sentiasa ada, menjadikan tugas beliau cukup berat dan tidak boleh dikompromi, apatah lagi membabitkan nyawa rakyat.

“Sebab itu saya beri tumpuan kepada COVID-19 ini. Hari-hari bermesyuarat, buat sidang media keluar televisyen kerana mahu jaga nyawa rakyat.

“Orang UMNO seharusnya berbangga juga kerana sekurang-kurangnya setiap hari ‘muka UMNO’ ini keluar televisyen. Dahi saya adalah cop UMNO… saya dilihat sebagai menteri dari UMNO. Apa yang saya buat itu juga boleh memberikan imej yang baik kepada UMNO,” katanya.

Advertisements

Terkini

MasChain perkenal ekosistem teknologi ‘blockchain’ di Malaysia

SYARIKAT pakar teknologi blockchain, Masverse Sdn. Bhd. melancarkan MasChain, platform transformatif yang direka untuk merevolusikan ekosistem digital bagi kerajaan,...

Lagi Artikel Berkaitan