27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Kerjasama UMNO, PH di luar pengetahuan saya – Mahdzir

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

SUBANG JAYA – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menjelaskan, beliau tidak tahu menahu sekiranya wujud sebarang rundingan atau kerjasama yang bakal dijalin di antara pemimpin tertinggi UMNO, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

“Setakat ini, sebagai Naib Presiden, saya tak tahu mengenai hal-hal kerjasama ini. Saya tak tahu sekiranya ada apa-apa bentuk rundingan, discussion atau sudah rule out plan untuk kerjasama,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Program Ceria ke Sekolah (CKS), Tenaga Nasional Bhd (TNB) peringkat negeri Selangor di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Perkhidmatan Korporat TNB, Mohamad Ariff Zainol, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar dan 25 ketua bahagian UMNO di negeri Selangor.

Dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia Ahad lalu, Anwar mengakui wujudnya perbincangan dengan UMNO untuk bekerjasama pada PRU-15.

Beliau turut memberi jaminan akan membuat penjelasan kepada anggota PKR untuk mengelakkan masalah yang mungkin timbul dalam rancangan kerjasama dengan UMNO.

Ekoran itu timbul pelbagai spekulasi berhubung kerjasama UMNO dan PH yang turut dianggotai DAP dan Amanah.

Malahan beberapa pihak termasuk kalangan pemimpin UMNO sendiri menggunakan sumber tersebut untuk “menyerang” Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam pada itu, Mahdzir yang juga Pengerusi TNB berkata, TNB sentiasa komited membantu golongan memerlukan dan kurang berkemampuan terutama golongan B40.

Menurut beliau, pelancaran program CKS peringkat negeri Selangor itu memperuntukkan kira-kira RM310,000 melibatkan 3,100 pelajar daripada keluarga B40 di negeri itu.

Katanya, sumbangan yang dihulurkan TNB itu merangkumi kelengkapan sekolah termasuk pakaian seragam sekolah dan beg sekolah.

Sumbangan itu akan disampaikan melalui kerjasama pemimpin masyarakat tempatan dan pihak sekolah.

Bantuan itu bertujuan mengurangkan tekanan yang dihadapi keluarga kurang berkemampuan dalam membuat persediaan anak-anak mereka ke sekolah, terutama berikutan pandemik COVID-19.

Secara keseluruhannya, TNB memperuntukkan hampir tiga juta ringgit bagi program CSR tahun 2021 yang setakat ini telah diagihkan ke negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor. – Edisi 9

Terkini

Warga Israel bersama 6 pucuk senjata api ditahan

SEORANG lelaki warga Israel ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama enam pucuk pistol di sebuah hotel di Jalan Ampang,...

Lagi Artikel Berkaitan