32.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Covid-19: Bilangan syarikat baharu lebih tinggi berbanding ditutup

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

KUALA LUMPUR – Pandemik Covid-19 nyata tidak menghalang lebih ramai rakyat negara ini menceburi bidang keusahawanan.

Buktinya, bilangan syarikat baharu yang didaftarkan mengatasi bilangan syarikat yang ditutup sepanjang tahun lalu, walaupun menghadapi wabak Covid-19.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ini menunjukkan keupayaan usahawan untuk seiring dengan trend dan norma baharu selain menggunakan teknologi.

Beliau berkata, berdasarkan statistik Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), sebanyak 437,769 syarikat baharu telah didaftarkan, termasuk 131,139 syarikat dalam talian, berbanding 78,420 syarikat yang ditutup.

“Ini menunjukkan jika seseorang itu dinamik, dapat menyesuaikan dengan perubahan dan menggunakan teknologi, mereka akan berjaya.

“Bagi menjadi usahawan yang berjaya, mereka perlu membuat keputusan dengan segera dan dapat mengubah pelan apabila ia tidak lagi sesuai dan bersedia untuk merebut peluang baharu.

“Mereka yang mengguna pakai teknologi akan berkembang dan mereka yang sebaliknya, akan menghadapi kesukaran,” kata beliau dalam ucapan pada majlis Anugerah Perniagaan PKS dan Keusahawanan (SEBA) 2020 malam tadi.

Advertisements

Sebanyak 55 anugerah berprestij diberikan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan pada Majlis Makan Malam Gala Penyampaian Anugerah.

Shuib Sepahtu menerima trofi Anugerah Usahawan Selebriti Terbaik daripada Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Kuala Lumpur, malam tadi. – Foto: Edisi 9

Wan Junaidi berkata, kementerian akan memberikan penyelesaian yang menyeluruh kepada usahawan, daripada kategori tidak formal dan mikro sehingga kepada mereka yang berada dalam kategori berteknologi tinggi dan bermodal tinggi.

Kata beliau, kementerian dan agensinya akan membantu mewujudkan ekosistem yang kondusif untuk keusahawanan di Malaysia bagi berkembang maju.

“Tanpa mengambil kira kategori anda berada, apabila anda berjumpa kami, kami akan membimbing anda, memantau kemajuan anda dan memastikan anda mencapai kejayaan,” katanya.

Beliau berkata, matlamat kementerian untuk melahirkan 100 jutawan setahun daripada kumpulan usahawan tempatan bukan hanya “cakap kosong”.

“Kami mempunyai pelan untuk mencapainya,” kata beliau.

Pada majlis itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aerodyne Group, Kamarul A Muhamed telah dianugerahkan Usahawan Terbaik manakala pelawak Shuib Sepahtu menerima Anugerah Usahawan Selebriti Terbaik. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tak boleh tolak permohonan pelanggan tidak fasih bahasa Melayu

PARA pegawai Jabatan Imigresen Malaysia tidak dibenarkan menolak sebarang permohonan hanya kerana pelanggan gagal menguasai bahasa kebangsaan. Bagaimanapun, menurut Ketua...

Lagi Artikel Berkaitan