29.4 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

UMNO mesti belajar dari kesilapan buat percaturan

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – UMNO perlu belajar daripada kesilapan parti itu membuat percaturan sehingga menyebabkan ia tersungkur pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tidak salah untuk UMNO mengakui kesilapan dan belajar daripadanya agar dapat membina kembali keutuhan parti.

“Ingatlah, lidi yang sebatang, terlalu mudah dipatahkan namun jika ia menjadi seberkas, ia menjadi kuat dan kukuh,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia supaya menolak politik kebencian dan fitnah dan kita harus mencari satu permulaan baru kepada Malaysia yang lebih baik dan aman dalam norma baharu pasca COVID-19.

Ismail Sabri amat yakin dengan segala sejarah berkaitan kesilapan dan peristiwa lepas yang telah menjerumuskan semua pihak dalam rekah kebinasaan sebuah negara majmuk seketika itu menjadikan rakyat lebih matang dan rasional dalam menentukan hala tuju negara demi masa depan generasi akan datang.

“Setelah lebih setahun kita diserang pandemik COVID-19, ia telah banyak mengubah kehidupan normal kita dari sebelum ini.

“Ia mengajar kita soal pematuhan kepada ketetapan dan bagaimana kita menyesuaikan diri dalam norma baharu yang serba menghambat.

“Kita sedang mengharunginya bersama dan cahaya kejayaan makin hampir dengan adanya vaksin untuk imuniti rakyat lebih terjamin,” jelasnya.

Selain soal kesihatan, beliau yang juga Menteri Kanan Pertahanan menambah, perpaduan orang Melayu dan kaum bumiputera perlu diperkukuhkan.

Ahli Parlimen Bera itu menyatakan beliau konsisten untuk bercakap dan memperjuangkan orang Melayu di samping menghormati bangsa-bangsa lain di negara ini.

Ismail Sabri berkata, sesungguhnya kepelbagaian kaum di Malaysia merupakan satu keunikan yang tidak dapat dihayati di negara atau tempat lain.

Beliau menjelaskan, semangat saling menghormati antara kaum dan agama merupakan lambang kemajmukan Malaysia.

“Namun 22 bulan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara, kamajmukan ini seakan cuba dirobek apabila hak keistimewaan orang Melayu bumiputera diganggu.

“Mana mungkin kita lupa kesengsaraan yang dilakukan oleh PH sepanjang mereka menjadi pimpinan negara sehinggakan ramai pelabur mula menarik diri,” ujarnya.

Justeru, Ismail Sabri menekankan betapa pentingnya Melayu bumiputera bersatu dalam menghadapi dunia politik yang semakin mencabar.

“Mahu tidak mahu, kita tidak dapat menolak bahawa Pilihan Raya Umum Ke-15 sudah tidak lama,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, UMNO harus terus memperkukuhkan parti dan memastikan tiada lagi perpecahan yang terjadi kerana perpecahan akan membuatkan orang Melayu lemah dan akhirnya peristiwa 22 bulan di bawah PH berulang.

Ismail Sabri berkata, sepanjang Barisan Nasional (BN) dan UMNO menjadi kerajaan, telah terbukti negara ini ditadbir dengan baik dan sikap saling hormat menghormati antara kaum sentiasa dipelihara dalam semua aspek.

“Bukan hanya bangsa Melayu dan bumiputera terjamin tetapi kaum-kaum lain turut bebas mengamalkan budaya serta kepercayaan masing-masing, malah dirai bersama dalam kemajmukan Malaysia.

“Lantaran itu, bangsa lain tidak perlu khuatir sama sekali sekiranya UMNO yang menjadi komponen dalam BN kembali menjadi tunjang negara,” jelasnya. – EDISI 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan