24.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

UMNO memilih ‘kematian abadi’ jika bersendirian?

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9


Oleh MOHAMAD ASRI

SEJAK beberapa minggu ini semakin kuat kedengaran suara segelintir pemimpin UMNO yang begitu yakin parti itu mampu mendapat kerusi mencukupi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi mengetuai pembentukan kerajaan.

Lantaran tebalnya keyakinan itu, maka terpacullah beberapa cadangan keras daripada mereka antaranya UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu bertanding bersendirian, UMNO tidak perlu bekerjasama dengan Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) dan jika pun perlu bekerjasama UMN0 mesti bertanding sekurang-kurangnya 90 kerusi Parlimen.

Menariknya semua cadangan ini keluar daripada mulut pemimpin UMNO yang boleh dikategorikan sebagai ‘sendu’ dalam hierarki parti tersebut.

Sendu sama ada tewas berkali-kali dan ditolak pengundi dalam pilihan raya umum yang lalu atau tewas dalam pemilihan parti.

Sebahagiannya pula merupakan pemimpin-pemimpin UMNO bahagian di kawasan Parlimen yang UMNO tidak pernah bertanding kerana terletak di kubu kuat pembangkang khususnya di kawasan bandar-bandar besar.

Walaupun sudah berada dalam kategori ‘tidak laku’ dek kerana lantang dan sentiasa kelihatan terkedepan dalam media sosial, segelintir pemimpin ini masih bernasib baik kerana tetap dilantik sebagai ‘ayam sabung’ segelintir para pemimpin UMNO bermasalah khususnya daripada ‘kluster mahkamah.’

Sekadar menyebut beberapa nama antaranya bekas Ahli Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed, bekas Ahli Parlimen Batu Pahat Datuk Dr. Mohd Fuad Zarkashi dan bekas Ahli Parlimen Pasir Gudang yang juga Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Khaled dalam satu wawancara dengan Nikkei Asia dengan penuh yakin menyatakan akan memenangi kerusi majoriti pengundi Melayu, kelompok pengundi yang turut menjadi sasaran Bersatu dan Pas.

Khaled menegaskan akan menentang Bersatu yang dipimpin oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di semua kawasan yang ditandingi oleh parti tersebut dan sebarang perundingan mengenai pembentukan gabungan baharu hanya akan dilakukan selepas pilihan raya.

Nur Jazlan pula menegaskan UMNO tidak akan menyerahkan kerusi lain kepada Bersatu kecuali Parlimen Pagoh sahaja kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketika segelintir pemimpin UMNO ini sedang dibuai keyakinan mendalam, bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin pula melihat peluang UMNO adalah sebaliknya malah parti itu dikatakan tidak mampu menang dalam PRU-15 jika pilihan raya diadakan sekarang.

Daim mendakwa UMNO sudah tidak lagi menjadi tarikan kepada majoriti rakyat di negara ini dan parti itu gagal menawarkan kepimpinan bermakna untuk kebaikan rakyat.

UMNO juga kata bekas Menteri Kewangan tidak pernah ‘belajar daripada sejarah’ dipercayai merujuk kepada kekalahan dan kejatuhan parti itu pada PRU-14.

Kenyataan Daim walaupun tidak 100 peratus tepat, sedikit sebanyak ada kebenarannya. Segelintir pemimpin UMNO yang masih beranggapan parti itu boleh menang selesa dan kembali memerintah barangkali masih lagi dibelenggu dengan ‘kegemilangan masa lalu.’

Advertisements

Mereka langsung tidak mengambil kira suasana dan landskap terkini politik negara yang sudah terlalu banyak berubah dan sangat berbeza dibandingkan dengan pilihan raya-pilihan raya terdahulu.

Dalam pilihan raya yang lalu UMNO bertanding dengan penuh kekuatan dan segala kelebihan. Sebagai parti pemerintah parti itu mempunyai sumber kewangan yang tidak ada tolok bandingnya.

Oleh kerana wang bukan satu masalah, jentera pilihan raya digerakkan pada tahap maksimum berbanding parti-parti lain.

Bagaimanapun dengan segala kekuatan dan kelebihan pun UMNO dan Barisan Nasional (BN) mencatat keputusan terburuk dalam sejarah penubuhannya sehingga gagal membentuk kerajaan.

Itu suasana ketika UMNO ada segala-galanya tetapi sekarang sudah tidak sedemikian. UMNO bukan seperti dahulu dan tidak lagi memegang tampuk pemerintahan.

Malah jumlah kerusi yang dimenangi juga sudah berkurangan kerana sebahagian ahli Parlimen dan ADUN parti tersebut sudah menyertai Bersatu.

Walaupun sudah kembali menjadi sebahagian parti pemerintah, UMNO bukan parti yang mengetuai kerajaan sebaliknya Bersatu- parti serpihan UMNO bersama-sama dengan beberapa parti lain membentuk Perikatan Nasional (PN) kini mengetuai kerajaan.

Dengan kudrat kekuatan yang semakin berkurangan dalam segala segi, jalan terbaik ialah kekal bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) jika mahu terus memerintah. UMNO tidak akan ke mana jika bergerak bersendirian dalam pilihan raya akan datang.

Walaupun UMNO dan Pas bekerjasama dalam Muafakat Nasional (MN), Pas tidak akan sesekali bersetuju jika UMNO memutuskan untuk bertanding tiga penjuru dengan Bersatu, rakan Pas dalam PN. Perlu diingat MN adalah satu gabungan longgar yang tidak berdaftar sehingga sekarang.

Dalam hal ini Pas sendiri sudah tentu mahu memilih satu platform yang lebih terjamin iaitu PN berbanding dengan ikatan longgar dengan UMNO dalam MN.

UMNO juga sepatutnya tidak lagi menjadikan kemenangan parti itu dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini sebagai gambaran atau kayu ukur bahawa rakyat sudah kembali menyokong mereka.

Kemenangan tersebut kerana rakyat menolak parti yang bekerjasama dengan DAP dan ketika itu Bersatu, PKR, DAP dan Amanah adalah rakan dalam Pakatan Harapan (PH).

Sekarang Bersatu sudah tidak bersama DAP lagi. Malah keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah yang baru-baru ini membuktikan Bersatu yang dipimpin Muhyiddin diterima dengan baik oleh rakyat Sabah.

Dalam keadaan ‘banyak kekurangan’ sekarang ini adakah UMNO mampu mencatat keputusan lebih baik dalam PRU-15 nanti? Pemimpin-pemimpin UMNO yang waras kena duduk dan fikir dalam-dalam, masak-masak.

Jika UMNO terus berkira-kira mahu bersendirian, UMNO sebenarnya sedang berkira-kira mahu menempah ‘jalan kematian abadi’ selepas pilihan raya nanti!

  • Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan