33.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Pertahankan Muhyiddin tu dulu, tak payah menyibuk soal UMNO

Mesti Baca

‘TERKAGUM’ penulis apabila membaca satu kenyataan seorang pemimpin parti Bersatu yang mahukan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan menyiasat dakwaan yang dibuat di mahkamah bahawa UMNO mempunyai akaun bank rahsia tidak diaudit yang melanggar Akta Pertubuhan.

Pemimpin ini mengambil kesempatan daripada hujah pendakwaan dalam saman sita pelucutan harta berkaitan 1MDB oleh kerajaan terhadap Obyu Holdings.

Penulis tidak berhasrat mengulas kes tersebut memandangkan ia dalam proses perbicaraan, biarlah mahkamah menentukannya selepas mendengar hujah pendakwa dan peguambela, tetapi apa yang penulis mahu ketengahkan tentang tindakan pemimpin Bersatu tersebut yang begitu cepat memberi ulasan.

Yang anehnya selama ini pemimpin-pemimpin Bersatu hanya mendiamkan diri sahaja apabila Presiden mereka yang juga Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ‘diserang’ kiri kanan, terbaru ‘serangan’ melampau dalam media sosial ketika lawatan beliau ke Indonesia.

Peliknya tidak ada pula pemimpin Bersatu tampil mempertahankan Muhyiddin tetapi apabila ada kes melibatkan UMNO, wah! pantas sekali ulasan dibuat. Mungkin pemimpin Bersatu lebih teruja atau hanya berani dengan UMNO tetapi ‘kecut perut’ dengan pihak lain.

Kita tahulah Bersatu adalah parti serpihan UMNO dan Bersatu bercita-cita mahu menggantikan UMNO, tetapi percayalah itu tidak akan berlaku!

Tindakan membuat ulasan-ulasan yang bertujuan untuk menjejaskan imej UMNO tidak akan ke mana, hanya ‘menghabiskan beras’ sahaja.

Pemimpin-pemimpin Bersatu perlu belajar berdiri depan cermin dan menilai secara bijaksana wajarkah mengambil kesempatan untuk memburuk-burukkan UMNO. UMNO bukan parti ‘melukut di tepi gantang’, UMNO bukanlah parti yang boleh diperkotak-katikkan.

Tetapi UMNO adalah nyawa politik kepada Kerajaan Perikatan Nasional. Disebabkan sokongan UMNO lah, Bersatu yang jumlah ahlinya pun mungkin tak sampai 500,000 dan memiliki kerusi Parlimen yang banyak disebabkan ahli Parlimen UMNO melompat ke parti itu dapat menduduki jawatan Perdana Menteri .

Inilah fakta! Justeru tidak perlulah mana-mana pemimpin Bersatu di peringkat apapun mahu menyibuk soal UMNO. Adalah lebih baik jika mereka mempertahankan Muhyiddin yang ramai melihat terkontang kanting ketika ‘diserang’. Soal UMNO biarlah UMNO uruskan.

Lagipun kalau mahu dibandingkan kekuatan UMNO dengan Bersatu, ia bagaikan langit dengan bumi. Sebab itulah sebahagian besar bahagian UMNO tidak mahu mengadakan kerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15 kerana mereka tahu Bersatu tidak ada apa-apa kekuatan, apatah lagi di peringkat akar umbi.

Sebenarnya, kenyataan menyibuk hal UMNO itu bukanlah kali pertama. Sudah banyak kali pemimpin Bersatu membuat kenyataan yang menyinggung perasaan pemimpin dan ahli UMNO.

Yang hairannya, mereka mahu mempertahankan Kerajaan Perikatan Nasional tetapi dalam masa sama ‘cari fasal’ dengan UMNO.

Tidak dapat dinafikan adalah hak mana-mana pemimpin Bersatu untuk memberi pandangan terhadap sesuatu isu, tetapi berhati-hatilah, kalaupun mahu menonjolkan diri ketika orang tidak melihat ada pemimpin dalam parti itu yang boleh menggantikan Muhyiddin.

Terimalah hakikat, Bersatu bergantung hanya kepada Muhyiddin tanpa Ahli Parlimen Pagoh itu, entah apa akan berlaku kepada parti yang baru berusia setahun jagung.

Sebagai sebuah parti yang berganding bahu menguruskan negara bersama UMNO, pemimpin-pemimpin Bersatu harus pandai ‘menjaga mulut’, bukan ‘main belasah’ sahaja!

Sebab itulah daripada mahu ‘menjaga kain’ UMNO, lebih baik belek-belek kain sendiri kerana UMNO tidak ada masalah tanpa Bersatu tetapi Bersatu akan ada masalah jika tiada UMNO.

Fahamilah, dalam keadaan apa sekalipun dan tidak kira apapun masalah, di hati kecil orang Melayu tetap mahu melihat parti-parti Melayu bersatu, justeru peliharalah hubungan yang terbentuk dengan sebaik-baiknya.

Masalah pasti wujud tetapi jalan penyelesaian juga pasti ada kecualilah kalau ada pemimpin dalam Bersatu berasa ‘besar kepala’ atau begitu yakin parti itu mampu menggantikan UMNO sebagai parti induk orang Melayu,. Kalaulah ada keyakinan seumpama… sesungguhnya ia ‘khayalan kelas tertinggi’ – kenapa? Mereka sendiri pasti tahu.

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan