27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Parlimen boleh bersidang semasa Darurat, titah Agong

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadzil Shamsuddin berkata, sidang Parlimen boleh diadakan pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

“Perkara ini termaktub di dalam sub perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (KuasaKuasa Perlu) 2021 yang menyatakan bahawa Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

“Oleh hal yang demikian, tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan proklamasi darurat menghalang Parlimen untuk bersidang adalah tidak tepat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau menegaskan bahawa perkenan Yang di-Pertuan Agong kepada nasihat Perdana Menteri berkenaan Pengisytiharan Proklamasi Darurat pada 12 Januari 2021 adalah semata-mata sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak COVID-19 yang telah meragut lebih 1,000 nyawa setakat ini.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Dr. Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun di Istana Negara hari ini.

Gambar: Facebook Istana Negara

Dalam sesi menghadap itu, Seri Paduka telah menegaskan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi yang berteraskan prinsip Keluhuran Perlembagaan, setiap cabang pentadbiran negara sama ada pihak Eksekutif, Kehakiman mahupun Parlimen haruslah sentiasa akur kepada prinsip tersebut.

Dalam sesi menghadap hari ini, Yang di-Pertuan Agong juga mengambil maklum atas hal-hal sampingan berkaitan budaya, warisan dan etika tataperlakuan Ahli-Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara semasa melunaskan tanggungjawab berbahas dan bertindak agar sentiasa bersifat mulia dan dipandang tinggi.

“Berhubung dengan perkembangan terkini wabak COVID-19, Seri Paduka mengambil kesempatan ini menzahirkan penghargaan kepada kerajaan, khususnya Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta agensi-agensi kerajaan yang berkait, di atas usaha merealisasikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang dijadualkan bermula pada hari ini dan dijangka mengambil masa sehingga beberapa bulan.

“Seri Paduka menzahirkan setinggi penghargaan kepada para wira dan wirawati petugas barisan hadapan di atas pengorbanan yang dicurahkan tanpa mengira masa dan penat lelah dalam memerangi wabak COVID-19.

“Seri Paduka turut mengajak rakyat untuk bersama baginda mendoakan semoga negara ini sentiasa dilindungi dan bebas dari wabak ini dengan segera,” tambah kenyataan itu. – EDISI 9

Terkini

‘Rebel’, filem aksi arahan pertama Awie

SELEPAS bertahun-tahun berkecimpung dalam dunia lakonan dengan puluhan filem serta pelbagai watak yang pernah dilakonkan, akhirnya vokalis kumpulan Wings iaitu...

Lagi Artikel Berkaitan