CYBERJAYA – Wanita UMNO kesal dan terkilan dengan sikap segelintir pihak yang cuba menjadi populis dengan memanipulasi serta memainkan isu yang tidak sewajarnya berkaitan vaksin COVID-19.
Ketua Penerangannya, Datuk Norshida Ibrahim berkata, dalam soal keselamatan rakyat, mereka sewajarnya melihat secara mendalam tentang usaha kerajaan khususnya Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba serta barisan hadapan yang lain dalam menghadapi cabaran penularan pandemik tersebut.
Menurut beliau, ketibaan kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam memperlihatkan usaha dan jerih-perih kerajaan dalam usaha mengekang penularan pandemik COVID-19 di negara ini.
“Kesungguhan dan komitmen kerajaan termasuklah mereka yang dipertanggungjawabkan dan seterusnya digabungkan pelbagai pihak khususnya peranan Kementerian Kesihatan yang diterajui Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi melalui Menterinya, Khairy Jamaluddin akhirnya membuahkan hasil.
“Setelah pandemik COVID-19 menyerang negara awal tahun lalu, pelbagai inisiatif telah dijalankan dalam usaha mencari vaksin selain daripada pelbagai langkah lain yang telah diambil oleh pihak kementerian dan kerajaan itu sendiri dalam usaha menyelamatkan seluruh rakyat di negara ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Norshida yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Segamat menambah, selain untuk negeri-negeri lain, Johor juga antara negeri yang turut menerima kumpulan pertama vaksin COVID-19 apabila ia dibawa terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura ke Tambak Johor.
Beliau memberitahu, tentunya ketibaan vaksin tersebut adalah satu perkara yang amat dinanti-nantikan oleh bangsa Johor dan Dr Adham yang juga Ahli Parlimen Tenggara sebelum itu turut berada di KLIA turut sama menyambutnya bersama Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad di Tambak Johor.
“Kita percaya ketibaan vaksin untuk rakyat Johor khususnya merupakan satu perkara yang ditunggu-tunggu oleh bangsa Johor itu sendiri dalam usaha mengekang penularan pandemik COVID-19 dan pada masa yang sama memperlihatkan keseriusan kerajaan negeri yang diterajui Hasni.
“Kesanggupan dan kesediaannya menyambut vaksin berkenaan bersama Dr Adham dan barisan kepimpinan lain menyerlahkan segala-galanya kepada rakyat Johor bahawa soal keselamatan dan kesihatan rakyat adalah perkara yang utama,” jelasnya.
Norshida berkata, secara keseluruhan, usaha itu adalah kesungguhan dan komitmen yang ditunjukkan oleh barisan kepimpinan kerajaan dalam soal yang melibatkan keselamatan serta kesihatan rakyat seluruhnya dalam usaha memastikan wabak dapat dihentikan.
“Apa pun Wanita UMNO mengucapkan tahniah dan mengau-alukan ketibaan kumpulan pertama vaksin ini dan apa yang diharapkan insya-Allah sekurang-kurangnya memberi satu pengharapan baru kepada rakyat serta negara.
“Yang jelas ketibaan vaksin ini sudah tentu akan merancakkan program imunisasi COVID-19 di negara ini dan Wanita UMNO secara dasarnya sentiasa bersama-sama dalam menjayakan program imunisasi ini,” katanya.
Menurut beliau, Wanita UMNO cukup yakin program vaksinasi terbesar dengan tema ‘Lindung Diri, Lindung Semua’ adalah strategi kerajaan untuk memastikan sebanyak mungkin penduduk di Malaysia menerima vaksin COVID-19 bagi menyelamatkan nyawa. – EDISI 9