25.8 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Isteri ahli politik didakwa edar, tanam kanabis

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Isteri seorang ahli politik hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang, di sini, atas tiga pertuduhan mengedar dan menanam dadah jenis kanabis di rumahnya.

Memetik Bernama, tiada pengakuan direkodkan daripada Lyiana Roslee, 34, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Farah Nasihah Anua, kerana kes membabitkan hukuman mati di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Lyiana bersama dengan seorang lagi yang masih belum dituduh, didakwa mengedar dadah jenis Kanabis anggaran berat 1,580.4 gram (1.58 kilogram) dan mengedar cecair jenis dadah sama berisi padu 7.87 liter di sebuah rumah di Duta Residensi, Ampang, di sini pada 7.30 malam, 20 Januari lalu.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, suri rumah itu didakwa mengikut Seksyen 39(B)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan ketiga, tertuduh bersama dengan seorang lagi yang masih belum dituduh, didakwa menanam sembilan pokok disyaki pokok kanabis di tempat, tarikh dan masa sama.

Dia dituduh mengikut Seksyen 6B(1)(a) akta sama yang boleh dihukum mengikut Seksyen 6(A)(3) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Shazwani Abdullah, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali dan Nur Mustanir Md Nor.

Mahkamah menetapkan 16 Februari depan untuk sebutan semula kes.

Tertuduh ditahan di Penjara Kajang.


Bernama sebelum ini melaporkan, seorang ahli politik yang juga ahli perniagaan ditahan, kerana disyaki memproses dan mengedar dadah di Pudu, selain menyerbu rumah suspek di Ampang.


Turut ditahan di dalam serbuan itu adalah isteri serta pembantu rumah suspek.

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan