28.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Tentera Myanmar rampas kuasa, umum darurat setahun

Mesti Baca

YANGON – Tentera Myanmar hari ini melakukan rampasan kuasa terhadap kerajaan yang dilantik secara demokratik pimpinan pemenang Hadiah Nobel, Aung San Suu Kyi dan menguatkuasakan perintah darurat selama setahun.

Agensi berita Reuters melaporkan, menerusi kenyataan yang disiarkan stesen televisyen milik tentera, Suu Kyi ditahan bersama pemimpin lain dari parti Liga Nasional untuk Demokrasi (NLD) dalam serbuan pada awal pagi.

Tentera mendakwa,  penahanan pemimpin parti NLD dibuat sebagai tindak balas terhadap “penipuan dalam pilihan raya” dan menyerahkan kuasa kepada panglima tentera Min Aung Hlaing.

Talian telefon ke ibu kota Naypyitaw tidak dapat ditembusi dan penyiaran stesen TV negara terhenti beberapa jam sebelum Parlimen dijadualkan bersidang untuk pertama kalinya sejak kemenangan besar NLD dalam pilihan raya pada November lalu.

Askar menurut penduduk mengambil kedudukan di dewan bandar di  Yangon ketika perkhidmatan data internet dan telefon di kubu kuat NLD terganggu.

Sambungan internet juga merosot secara mendadak, menurut khidmat pemantauan NetBlocks.

Penahanan Suu Kyi dan pemimpin lain berlaku berikutan ketegangan yang meningkat selama beberapa hari antara pemerintah awam dengan tentera yang menimbulkan kebimbangan akan berlaku rampasan kuasa selepas pilihan raya.  

Jurucakap Myo Nyunt memberitahu, selain Suu Kyi, Presiden Win Myint dan beberapa pemimpin lain telah “dilarikan” pada awal pagi.

“Saya mahu memberitahu rakyat kita agar jangan bertindak balas dengan terburu-buru dan saya mahu mereka bertindak mengikut undang-undang,” katanya, sambil menambah beliau juga dijangka akan ditahan.

Advertisements

“Dengan keadaan yang kita lihat terjadi sekarang, kita harus menganggap bahawa tentera sedang melakukan rampasan kuasa,” Myo Nunt yang dipetik agensi berita AFP.

Sementara itu, seorang anggota parlimen NLD, yang meminta namanya tidak didedahkan kerana bimbang akan tindakan balas tentera berkata, antara yang turut ditahan adalah Han Thar Myint, anggota jawatankuasa eksekutif pusat parti itu.

Parlimen dijadual untuk mula bersidang di sana pada Isnin selepas pilihan raya pada November apabila NLD mencatat kemenangan besar.

Media negara Myanmar, MRTV menyatakan di Facebook bahawa pihaknya sedang menghadapi masalah teknikal dan tidak dapat meneruskan siaran.

Terdapat juga laporan bahawa talian data mudah alih dan beberapa perkhidmatan telefon terganggu di bandar utama Myanmar, Yangon.

Suu Kyi, 75, memegang kuasa selepas kemenangan pilihan raya 2015.
 Dalam pilihan raya November lalu NLD meraih kelebihan undi yang besar sekali gus mengatasi parti pro-tentera.

Tentera Myanmar menekankan pada Sabtu lalu bahawa mereka akan melindungi dan mematuhi Perlembagaan dan bertindak mengikut undang-undang ekoran komen pada awal minggu yang menimbulkan kebimbangan tentang rampasan kuasa.

Suruhanjaya pilihan raya Myanmar telah menolak dakwaan tentera mengenai penipuan proses undian, dengan menekankan tiada kesalahan besar telah berlaku untuk menjejas kredibiliti pengundian.

Perlembagaan memperuntukkan 25 peratus kerusi di Parlimen bagi tentera dan kawalan tiga kementerian utama dalam pentadbiran Suu Kyi. 

Advertisements

Terkini

Didenda RM30,000 jual RON95 kepada kenderaan asing

SEORANG pemilik sebuah stesen minyak didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Selayang kerana menjual barangan kawalan berjadual petrol RON95 kepada...

Lagi Artikel Berkaitan