30.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Nahas 2 maut: Pemandu lori didenda RM7,000

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SEORANG pemandu lori tangki didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret Slim River di Perak hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memandu cuai hingga mengakibatkan kemalangan yang meragut nyawa dua remaja perempuan, bulan lalu.

Tertuduh, P. Yuaraj, 30, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Khairun Neesha Raj Mohamed.

Mahkamah turut memerintahkan Yuaraj dikenakan hukuman penjara 12 bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang memandu lori tangki jenis Volvo didakwa telah memandu kenderaan itu tanpa pertimbangan munasabah terhadap orang lain dengan cara membuat pusingan U di jalan yang tidak dibenarkan berbuat demikian.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 121, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur arah utara pada pukul 10.58 malam, 29 Mac 2023.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), yang membawa hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan selain butiran kesalahan wajib dinyatakan dalam lesen memandu, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Diyana Zubir manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Amani Williams-Hunt Abdullah.

Dalam kejadian pada 29 Mac lalu, Mimi Nurwaheeda Nor Kamar Hisham, 19, dan sepupunya, Nur Nabila Rosdi, 19, maut selepas motosikal ditunggang mereka merempuh sebuah lori yang disyaki membuat pusingan U.

Ketika kejadian, motosikal jenis Yamaha Lagenda 115Z yang ditunggang dua remaja terbabit dalam perjalanan dari Hulu Bernam menghala ke Slim River.

Mimi Nurwaheeda maut di tempat kejadian akibat parah digilis manakala Nur Nabila meninggal dunia di Hospital Slim River.

Susulan nahas tersebut, usaha mengesan pemandu kenderaan berat itu dijalankan di mana lelaki terbabit berjaya ditangkap berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat, Melaka pada 14 Mac lalu iaitu selepas 17 hari melarikan diri. 

-EDISI9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan