MENTERI pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook secara sinis menjemput Datuk Seri Wee Ka Siong untuk sama-sama hadir dan lihat pelepasan penumpang dari Kuala Lumpur-Tawau yang membeli harga tetap, RM249 untuk penerbangan terbabit pada Khamis ini.
Jemputan itu, kata Anthony sebagai usaha menjelaskan perkara sebenar yang sebelum ini cuba dikelirukan oleh mantan Menteri Pengangkutan itu.
“Saya buat tawaran terbuka, pada jam 10.15 malam untuk pergi lepaskan penumpang dari Kuala Lumpur je Tawau, harga tetap, RM249 untuk semua 135 penumpang.
“Kalau beliau tidak percaya ada tambang murah, saya undang beliau datang dan beliau boleh temu bual setiap penumpang,” katanya dalam sidang media khas di Putrajaya hari ini.
Dalam pada masa sama, Anthony turut berasa hairan dengan tindakan Ka Siong yang hanya memeriksa harga tiket kapal terbang menggunakan satu aplikasi yang sama.
“Ka Siong sepatutnya tahu setiap syarikat penerbangan ada aplikasi masing-masing, bukannya hanya ada aplikasi AirAsia seperti digunakan beliau.
“Beliau juga seharusnya mendidik rakyat mendapatkan tiket termurah dengan membandingkan pelbagai aplikasi, bukan hanya melihat kepada satu aplikasi semata-mata.
“Takkan mantan Menteri tak tahu bahawa Malaysia Airlines (MAS) ada aplikasi sendiri. Kalau periksa tiket MAS, mengapa guna ‘AirAsia app’.
“Ini macam nak beli KFC tapi pergi ke McDonald’s. Jawapan diterima jauh berlainan (antara kedua-dua aplikasi),”sindir beliau.
Bagaimanapun, Anthony percaya sebagai mantan Menteri, beliau (Ka Siong) seharusnya tahu mengenai perkara ini.
“Orang ramai mungkin tak faham bagaimana harga tiket ditentukan oleh syarikat penerbangan atau apakah mekanisme syarikat untuk tentukan harga tersebut.
“Tapi bekas menteri semestinya tahu perkara itu,” katanya.
Tambah beliau, MAS telah menjual sebanyak 78 peratus kerusi untuk musim perayaan dengan 78 peratus daripadanya dijual pada harga RM209 ke RM841 untuk kelas ekonomi.
Selain itu, katanya, AirAsia juga menawarkan harga tiket tetap berharga RM199 ke Sarawak dan RM249 ke Sabah bagi memenuhi permintaan sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Anthony tidak menafikan sememangnya terdapat tiket dijual pada harga mahal namun ia biasanya melibatkan tiket dibeli pada saat akhir.
“Bagaimanapun majoriti tiket dijual pada harga di bawah RM841 pada musim perayaan kali ini,”katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Seremban itu mengakui walaupun sudah ditambah kapasiti penerbangan, jumlahnya masih belum mencukupi.
“Kerajaan akan sentiasa berusaha meningkatkan kapasiti supaya harga purata dapat dikurangkan,”kata beliau. – Edisi 9