28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Andainya PN tumbang nanti, mampukah Gerakan kekal setia?

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Setelah sekian lama dalam situasi hidup segan mati tak mahu, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) akhirnya diterima secara rasmi menyertai Perikatan Nasional (PN).

Khabar itu diumumkan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Satu ketika dahulu, Gerakan merupakan salah satu parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) dan parti itu kelihatan seperti melukut di tepi gantang setelah Pulau Pinang yang dikuasainya sejak 1968 terlepas ke tangan DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12).

Sejak itu, parti berkenaan gagal mengembalikan zaman gemilang yang dikecapi hasil sokongan padu daripada UMNO dalam Barisan Nasional (BN) serta ketokohan pemimpin-pemimpin tertingginya iaitu Tun Dr Lim Chong Eu dan Tun Lim Keng Yaik.

Kedua-duanya telah berjaya memperkukuhkan Gerakan sebagai parti komponen yang menyumbang secara konstruktif terhadap pengukuhan BN sebagai parti pemerintah di peringkat negeri di Pulau Pinang dan di peringkat Persekutuan.

Malangnya, prestasi Gerakan bertambah malap sejak 2008, di mana parti itu dilihat tidak mempunyai kekuatan tersendiri dalam menarik keyakinan masyarakat Cina.

Malah, pencapaiannya adalah sifar kerusi pada PRU-14 di mana semua calon-calonnya yang bertanding atas tiket BN tidak mampu memberi saingan yang diharapkan untuk menewaskan Pakatan Harapan (PH).

Lebih mengecewakan, Gerakan yang diketuai oleh Datuk Dr Dominic Lau Cheng Hoe memilih jalan mudah dengan mengumumkan parti itu keluar dari BN.

Sejak itu sehingga hari ini, ia bergerak sebagai parti politik yang tiada hala tuju yang jelas.

Cuma sekali-sekala kedengaran mereka mencuit sedikit kerajaan DAP di Pulau Pinang tetapi tak ubah seperti melepas batuk di tangga.

Di sebalik prestasi Gerakan yang kurang memberangsangkan dan tahap kesetiaan yang boleh diragukan, PN mengambil percaturan yang agak berbahaya dengan menerima penyertaan parti tersebut.

Malah, Muhyiddin dalam kenyataannya berkata beliau percaya langkah itu akan memperkukuhkan PN sebagai gabungan parti politik yang mewakili masyarakat pelbagai kaum dan wilayah di negara ini.

Jika dikaji sejarah Gerakan, parti itu nampaknya lebih cenderung menyokong gabungan politik yang membentuk kerajaan semasa.

Sekiranya PN gagal menjadi kerajaan selepas PRU-15, agak-agaknya mahukah Gerakan terus kekal bersama gabungan yang rapuh itu?

Sama-samalah kita tunggu apa yang bakal terjadi nanti. – EDISI 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan