30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Akhirnya Rina tampil kecam insiden gangguan seksual

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Dua hari selepas disindir oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, Datuk Seri Rina Harun akhirnya tampil mengecam insiden gangguan seksual yang didakwa berlaku semasa sekatan jalan raya.

Dalam kenyataan media hari ini, beliau selaku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan amat memandang serius kejadian gangguan seksual yang disiarkan media sejak kebelakangan ini.

Menurut Rina, perbuatan terkutuk itu sama sekali tidak boleh dipandang enteng, apatah lagi jika ia melibatkan anggota penguat kuasa.

“Berikutan kejadian melibatkan wanita yang mendakwa dirinya diganggu secara seksual oleh anggota polis yang bertugas dalam sekatan jalan raya baru-baru ini,
saya menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membuat siasatan segera agar mangsa diberikan pembelaan dan pelaku diambil tindakan undang-undang, jika dibuktikan bersalah.

“Dalam mengendalikan isu ini, saya amat berharap agar semua pihak saling menghormati dan tidak mempersoalkan kredibiliti keseluruhan institusi PDRM yang telah banyak berkorban dalam memastikan keselamatan negara.

“Usahlah kita menghukum ibarat kerana nila setitik, rosak susu sebelanga,” jelasnya.

Beliau juga menegaskan pendirian dan komitmen Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk meneruskan penggubalan sebuah perundangan khusus berkaitan gangguan seksual yang kini drafnya sedang dalam semakan kerajaan untuk dibentangkan di Parlimen nanti.

Rina memberitahu perundangan khusus itu amat penting dan bersifat saling melengkapi kepada undang-undang sedia ada agar isu gangguan seksual dapat ditangani dengan lebih berkesan dan mampu melindungi mangsa, tanpa mengira wanita mahupun lelaki.

“Saya juga menyeru kepada semua rakyat Malaysia, khususnya golongan wanita agar tampil membuat laporan sekiranya berhadapan dengan sebarang bentuk
gangguan seksual, sama ada secara lisan, perbuatan atau melalui pelbagai isyarat oleh pelaku.

“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sedia membantu dan salurkan aduan melalui Talian Kasih 15999 dan Talian Whatsapp 019-26 15999 yang beroperasi 24 jam,” katanya/

Beliau meminta orang ramai untuk terus mengamalkan sikap saling hormat menghormati antara satu sama lain dan berganding bahu membanteras perbuatan gangguan seksual serta menghapuskan segala bentuk keganasan dan diskriminasi berasaskan gender.

Pada 12 Februari lalu, seorang wanita berusia 23 tahun mendakwa telah diminta oleh seorang anggota polis untuk menunjukkan payu daranya ketika ditahan dalam sekatan jalan raya di Jalan Duta menghala keluar dari Kuala Lumpur.

Tiga hari sebelumnya, seorang wanita lain menerusi ciapan Twitter mendakwa seorang anggota polis mengoratnya melalui aplikasi WhatsApp tular dalam media sosial.

Difahamkan, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan IPK Pulau Pinang sedang menyiasat kedua-dua dakwaan tersebut manakala kedua-dua anggota terbabit digantung tugas sehingga siasatan selesai. – EDISI 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan