32.7 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

‘Bermain dalam dua kolam’ jangan sampai Pas ‘lemas sendiri’

Mesti Baca

Muhammad Muzamil
Muhammad Muzamil
Wartawan Edisi 9

APA sudah jadi dengan Muafakat Nasional (MN)? Ia persoalan nampak mudah tetapi sukar dijawab biarpun semalam dua pemimpin UMNO membuat kenyataan berhubung perkara itu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama antara UMNO dan Pas yang dimeterai melalui kerangka MB perlu diteruskan kerana ia terbukti memberi impak positif kepada kedua-dua parti manakala Naib Presiden Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberitahu, kedua-dua pihak masih mengadakan mesyuarat secara berkala.

Tetapi beliau juga mengakui, walaupun sudah ada kesepakatan antara UMNO dan Pas untuk tidak bertembung sesama sendiri dalam PRU-15 namun beliau tidak menolak kemungkinan ia boleh berubah.

Ia memandangkan Pas juga sudah menjadi anggota Perikatan Nasional (PN). Jika keadaan itu berterusan, ia bermakna Pas bermain di ‘dua kolam’ iaitu bersama MN dan PN. Penulis berpendapat, sama ada MN akan dapat dipertahankan atau tidak, boleh terus hidup atau tidak, ia bergantung kepada Pas.

Pada awalnya segalanya nampak indah apabila dua parti Melayu yang bermusuhan sejak berpuluh-puluh tahun mencapai kesepakatan untuk bekerjasama melalui MN.

Perjanjian pun dimeterai atas nama perpaduan ummah. Bagaimanapun perjanjian longgar yang tidak meletakkan sebarang syarat telah memungkinkan Pas turut bergabung dengan Bersatu dalam PN.

UMNO melalui Ahli-ahli Parlimennya hanya menyokong kerajaan PN tetapi tidak bersama dalam parti Perikatan Nasional yang ditubuhkan Bersatu dan Pas.

Semua orang tahu, Bersatu adalah parti serpihan UMNO. Kesemua kerusi yang ditandingi oleh Bersatu adalah kerusi UMNO malah sebahagian besar Ahli Parlimen Bersatu sekarang adalah asalnya Ahli Parlimen yang menang atas tiket UMNO sebelum mereka ‘melompat parti’.

Keputusan Pas dikatakan mengecewakan sebahagian pemimpin UMNO tetapi mereka tidak boleh berbuat apa-apa kerana memang benar dalam perjanjian yang dimeterai pada 14 September 2019 sama sekali tidak meletakkan syarat bahawa mana-mana parti tidak boleh menyertai gabung politik lain.

Oleh itu Pas muncul dengan slogan memperkukuhkan Muafakat Nasional, memperkasakan Perikatan Nasional. Walaupun Pas berhasrat mahu menjadi orang tengah bagi mendamaikan antara UMNO dan Bersatu tetapi setakat ini ia dilihat tidak berkesan kerana ada dalam kalangan pemimpin UMNO sudah menolak bulat-bulat sebarang kerjasama dengan Bersatu.

Persoalannya, apa akan berlaku jika UMNO kekal dengan keputusan tersebut? Adakah Pas akan terus bersama UMNO dalam MN atau memilih PN?

Sebenarnya dari segi pembahagian kerusi, Pas dilihat akan mudah berunding dengan Bersatu kerana mereka boleh menyerahkan kubu kuat UMNO untuk Bersatu bertanding dan pada sama bertanding di kerusi peluang 50/50 antara Pas dan UMNO.

Advertisements

Pas tidak ada masalah untuk berunding cara demikian, lagipun Pas tahu sejauh manakah kekuatan jentera dan pengaruhnya untuk membolehkan mereka memastikan perundingan pembahagian kerusi menyebelahi mereka.

Bersatu tidak ada kekuatan di peringkat akar umbi, jentera pilihan rayapun entah macam mana lagi, oleh itu jika mahu menang banyak kerusi mereka perlu mendapatkan kerjasama Pas. Jika Bersatu bertanding tanpa Pas, semua orang boleh tahu kesudahannya.

Begitu juga dengan UMNO, mereka juga turut memerlukan sokongan Pas untuk menang lebih banyak kerusi dalam PRU-15. Jika mereka membuat keputusan tidak mahu bekerjasama dengan Pas, ia boleh menjejaskan peluang UMNO untuk menang banyak kerusi.

Tetapi berbanding dengan Bersatu, UMNO masih mempunyai pengaruh dan kekuatan dari segi sokongan rakyat. Keadaan inilah yang memungkinkan Pas berada dalam dilema sama ada mahu bersama PN atau MN. Bagaimanapun setakat ini nampak jelas Pas mahu berada di dalam kedua-duanya.

Mereka ibarat tidak mahu kembali bermusuh dengan UMNO dan tidak berhasrat untuk ‘bermasam muka’ dengan Bersatu. Pas mahu menyatukan ketiga-tiga parti itu untuk bekerjasama bukan sekadar bergabung sementara sahaja dalam kerajaan PN seperti ini.

Hasrat Pas ialah mahu memastikan tiga parti Melayu itu berada dalam satu pasukan bagi menghadapi Pakatan Harapan dalam PRU-15, tetapi segala-galanya bergantung kepada sejauh manakah UMNO dan Bersatu boleh mencapai kesepakatan.

Setakat ini nampak ia agak sukar. Ada pemimpin UMNO sudah berpatah arang berkerat rotan dengan Bersatu. Seperti mana kata Khaled, UMNO akan bertanding di semua kerusi yang mereka tandingi dalam PRU lalu, maknanya ia termasuklah kerusi yang dikuasai oleh Bersatu sekarang.

Apapun sama ada, ketiga-tiga parti Melayu itu boleh bergabung atau tidak, sama ada MN akan terus hidup atau tidak, segala-galanya bergantung kepada Pas. Bagaimanapun Pas pun kena hati-hati juga, jangan sampai yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran.

Persepsi bahawa Pas bermain ‘dua kolam’ untuk memburu kuasa tidak baik kepada parti itu. Lagipun sejarah pilihan raya membuktikan UMNO mempunyai kekuatan sendiri, keadaan itu berbeza dengan Bersatu.

Selain majoriti ahli Parlimennya menang atas tiket UMNO, yang menang pula hanya bernasib baik disebabkan situasi politik ketika PRU-14, apabila berlaku penolakan terhadap UMNO dan BN berikutan isu 1MDB melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan GST.

Justeru Pas jangan silap percaturan, lagipun di peringkat akar umbi suara-suara menolak kerjasama dengan Bersatu boleh dikatakan agak kuat jugak.

Berhati-hatilah berpolitik dalam ‘dua kolam’ ini kerana tersalah langkah, Pas akan kelemasan sendiri.

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan