29.2 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

ADUN Sebatik umum keluar Warisan, sokong GRS

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) hari ini mengumumkan keluar parti atas alasan Warisan masih mengutamakan politik berbanding kesejahteraan rakyat.

Sehubungan itu, kata Hassan A Gani, beliau kini seorang ADUN Bebas yang menyokong Kerajaan Negeri Sabah di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

“Saya melihat perkara yang diperlukan oleh negara pada hari ini adalah kestabilan politik. Kestabilan ini penting untuk memastikan kerajaan dapat memberikan sepenuh perhatian dalam menangani COVID-19 dan menjaga kesejahteraan rakyat.

“Saya amat berdukacita melihat pendirian Parti Warisan yang masih bermain dengan rentak politik Pakatan Harapan (PH) yang mengutamakan kepentingan politik berbanding kesejahteraan rakyat yang terbeban dengan isu COVID-19,” katanya dalam temu bual dengan Bernama di Kota Kinabalu.

Susulan tindakan Hassan A Gani menyokong GRS, gabungan itu yang dianggotai parti komponen Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan Parti Bersatu Sabah kini memiliki sokongan 48 ADUN daripada keseluruhan 79 ADUN negeri tersebut.

Advertisements

Hassan A Gani berkata, antara punca yang amat mengecewakan dirinya ialah tindakan Warisan menolak Belanjawan 2021 di Parlimen yang menurut beliau jelas membelakangkan kepentingan rakyat terutama dalam usaha menangani COVID-19.

“Segala usaha dibuat kerajaan menangani COVID-19 memerlukan peruntukan melalui bajet yang dibentangkan… cukup-cukup sudah bermain politik, masa ini kesejahteraan rakyat perlu diutamakan,” katanya.

Beliau berkata, tindakan kepimpinan Warisan yang membelakangkan pemimpin dan ahli akar umbi termasuk ADUN parti itu terutama dalam usaha menyuarakan kepentingan rakyat juga menyebabkan beliau mengambil keputusan meninggalkan parti berkenaan.

“Saya juga membuat keputusan keluar daripada Warisan demi membantu rakyat di kawasan yang saya wakili. Saya akan lebih senang membantu rakyat apabila menjadi ADUN bebas yang menyokong kerajaan GRS,” katanya.

Hassan berkata, beliau membuat keputusan itu tanpa desakan mana-mana pihak dan percaya kerajaan negeri ditadbir GRS kini dapat membantu rakyat Sabah terutama penduduk di kawasan yang diwakilinya.

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan