26 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Muzium 3D Kertih kembali dibuka, tambah tarikan baharu

Mesti Baca

KEMAMAN – Muzium 3D Kertih di sini kembali dibuka kepada orang ramai sejak seminggu lalu dengan beberapa tarikan baharu diberikan untuk pengunjung.

Muzium 3D pertama di Terengganu itu mula beroperasi pada 2 Januari lalu sebelum ditutup sementara berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara termasuk negeri ini pada 22 Januari sehingga 19 Fabruari lalu.

Pengurusnya, Ab Halim Ismail berkata, antara sentuhan baharu yang diberikan ialah penambahan galeri untuk kanak-kanak dengan lukisan-lukisan 3D lebih mearik dan lebih banyak berbanding sebelum ini.

Menurut beliau, pihaknya juga menambah lagi jumlah lukisan yang ada dalam galeri bagi memberikan kepuasan kepada pengunjung.

“Sepanjang PKP berlangsung kita telah menambah baik lukisan-lukisan yang ada selain tambahan beberapa karya lain khususnya untuk menarik minat kanak-kanak.

“Malah jika mereka yang pernah berkunjung ke sini sebelum ini pastinya akan tahu bahawa kita sudah membuat banyak penambahan pada lukisan kami. Kini setiap inci ruang galeri dipenuhi karya lukisan,” katanya kepada Edisi 9, hari ini.

Muzium 3D yang terletak di Bandar Baru Kertih di sini mempunyai keluasan hampir 5,000 kaki persegi dan dikatakan galeri 3D terbesar di Pantai Timur.

Advertisements

Ab Halim berkata, Muzium 3D Kertih mempunyai keunikan tersendiri berbanding galeri-galeri sama yang ada di negara ini.

Katanya, ini kerana Muzium 3D Kertih mementingkan elemen sejarah dan kebudayaan tempatan khususnya yang ada di negeri ini.

“Lukisan-lukisan yang ada di galeri kami bukan karya-karya khayalan tetapi sarat dengan penceritaan dan suasana tempatan.

Misalnya, gambaran suasana pekan Kertih sekitar tahun 1970-an dan 80-an yang dituang dalam bentuk lukisan tiga dimensi, selain tempat-tempat menarik yang ada di Terengganu, dilukis dengan memberi sentuhan 3D,” katanya.

Mengenai bayaran masuk, Abd Halim berkata, pihaknya masih menawarkan potongan kepada semua pengunjung sehingga akhir bulan ini.

“Promosi ini berakhir bulan ini dan mulai 1 Mac kita akan mengenakan bayaran normal iaitu RM15 untuk dewasa dan RM10 bagi kanak-kanak,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai Muzium 3D Kertih boleh dibuat dengan menghubungi talian 09-8251525 atau e-mel [email protected] atau menerusi Facebook/Muzium 3D Kertih serta laman web www.3dkertih.com.my. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Pemuda UMNO gesa ‘haramkan’ Prof Gilley masuk Malaysia

PEMUDA UMNO Malaysia hari ini mendesak kerajaan mengharamkan seorang ahli akademik pro-zionis Israel, Bruce Gilley daripada memasuki negara ini. Ketuanya,...

Lagi Artikel Berkaitan