32.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Ujian saringan berkala sukarela kawal penularan COVID-19

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu melaksanakan ujian saringan berkala secara sukarela kepada rakyat bagi mengawal penularan pandemik COVID-19 yang sangat membimbangkan ketika ini.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sri Gading, Datuk Mohamad Najib Samuri berkata, langkah itu membolehkan mereka yang terdedah kepada virus berkenaan mengambil inisiatif kendiri untuk menjalani ujian saringan di mana-mana fasiliti kesihatan yang tersedia di seluruh negara.

Menurut beliau, pendekatan itu wajar dibuat segera ekoran ramai individu yang dijangkiti tidak mempunyai gejala.

“Mereka ini berisiko menjangkiti orang lain termasuk ahli keluarga dan kenalan yang lebih berisiko, termasuk golongan berusia dan mereka yang berpenyakit kronik.

“Dengan langkah ini, mana-mana individu yang disahkan positif boleh mengambil langkah membuat pengasingan segera dan kuarantin diri secara serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Najib yang juga Bendahari Pemuda Barisan Nasional (BN) Johor menyedari bahawa masalah yang membelenggu sebahagian rakyat adalah kos jalani ujian saringan RT-PCR dan RTK-Ag yang tinggi, di luar kemampuan mereka terutama golongan B40.

Beliau percaya bahawa sebahagian besar rakyat memiliki kesedaran dan kemahuan yang tinggi untuk jalani ujian saringan kendiri bagi melindungi keluarga dan insan tersayang.

“Sehubungan itu, kerajaan perlu menambah dana bagi membeli lebih banyak kit-kit saringan khususnya RTK-Ag serta mengedarkan segera dengan kapasiti yang lebih besar ke semua fasiliti kesihatan awam dan swasta terpilih.

“Ini bagi membolehkan sesiapa saja boleh dibenarkan untuk menjalani saringan, dengan menetapkan syarat tempoh tertentu seperti hanya dibenarkan dua minggu sekali,” jelasnya.

Selain itu, Mohamad Najib menambah, bagi mengurangkan beban kewangan hanya ditanggung kerajaan saja, pemegang polisi insurans peribadi mesti dibenarkan untuk menggunakan perlindungan insurans yang mereka miliki untuk melakukan ujian saringan COVID-19 di semua fasiliti hospital swasta serta makmal swasta yang mendapat kebenaran Kementerian Kesihatan.

“Memandangkan industri insuran dan takaful ketika ini tidak membenarkan ujian saringan COVID-19 secara bebas dibuat kepada pemegang polisinya, disebabkan COVID-19 adalah pandemik, oleh yang demikian ia tidak diinsurankan atau dilindungi di bawah manfaat insuran atau takaful perubatan serta kesihatan, maka kerajaan boleh menggunakan peruntukan Ordinan Darurat yang sedang berkuatkuasa ketika ini untuk mengenepikan segala sekatan dan halangan berkenaan,” katanya.

Syor serupa turut dicadangkan oleh Naib Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Shahrul Fadhel Mohd Aziz.

Cadangan pertama beliau adalah meminta kerajaan mempertimbangkan pemberian subsidi 50 peratus untuk ujian saringan RTK di semua premis kesihatan milik kerajaan dan swasta.

“Jika langkah ini diumumkan oleh kerajaan, kami yakin lebih ramai rakyat akan tampil membuat ujian ini secara sukarela,” jelasnya.

Cadangan kedua Shahrul Fadhel adalah meminta kerajaan menggesa hospital-hospital swasta menawarkan perkhidmatan ujian saringan dengan harga yang jauh lebih murah daripada apa yang dikenakan kepada pelanggan sekarang.

“Inilah masa yang sangat sesuai bagi syarikat-syarikat korporat ini menyerlahkan kesanggupan mereka menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR), dalam keadaan semua pihak harus berganding bahu mengambil tanggungjawab bersama memerangi wabak ini daripada terus mengundang resah dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Sekiranya fasiliti kesihatan swasta keberatan untuk menurunkan harga ujian saringan COVID-19, beliau memberitahu, kerajaan boleh menggunakan kuasa-kuasa perlu dalam Proklamasi Darurat. – EDISI 9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan