26.2 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Harga barang melambung: Masih berfungsikah KPDNHEP?

Mesti Baca

APA sudah jadi dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)?

Masih berfungsikah kementerian ini ketika rakyat di luar sana menjerit-jerit berikutan kenaikan harga barang yang melambung-lambung?

Kenapa sehingga kini kementerian terbabit seolah-olah menyepi dan tiada sebarang kenyataan berkaitan isu kenaikan harga barang terutama sejak Proklamasi Darurat diumumkan kerajaan bagi membendung wabak Covid-19?

Harga-harga barang yang naik bukan sahaja melibatkan barangan kawalan tapi lebih parah melibat barangan bukan kawalan.

Bahkan harga petrol dan diesel juga menunjukkan kenaikan berterusan sejak akhir tahun lalu.

Baru-baru ini Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah membangkitkan isu kenaikan harga minyak masak 5 kilogram (kg) di pasaran.

Katanya, jika sebelum ini minyak masak 5kg boleh dapat diperoleh RM19 sehingga RM23, tinjauan peribadi beliau mendapati harga pasar raya pun sudah menjual pada harga RM28.59 untuk berat sama.

Semalam, timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan pula membangkitkan soal kenaikan harga barang sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menerusi akaun Facebooknya, Mohamad berkata, sesuatu mesti segera dilaksanakan untuk mengatasi masalah tersebut .

“Dasar kecukupan dan keselamatan makanan bukan sekadar memasti kecukupan bekalan tetapi juga memastikan harga makanan selari dengan kuasa beli rakyat.

“Begitu ramai sekali rakyat Malaysia telah kehilangan mata pencarian akibat pandemik Covid-19. Kuasa beli segelintir rakyat berada pada tahap yang genting.

Advertisements

“Tanpa intervensi kerajaan, mereka bukan sahaja akan miskin, tetapi juga hidup dalam keadaan lapar dan tidak mempunyai kecukupan makanan,” katanya.

Pengguna memahami dengan pandemik Covid-19 yang berterusan sejak setahun lalu dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh atau bersyarat telah mengganggu rantaian peruncitan.

Namun sebagai kementerian yang bertanggungjawab, KPDNHEP sepatutnya mempunyai perancangan jangka pendek dan jangka panjang, bukan sahaja memastikan bekalan keperluan pengguna mencukupi tetapi juga tidak berlaku kenaikan harga yang melambung tinggi.

Baru-baru ini menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengakui wujudnya peningkatan harga barang, namun melibatkan barangan basah seperti sayur-sayuran dan produk perikanan dengan mengaitkannya dengan musim tengkujuh yang melanda Pantai Timur.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati, kenaikan harga barangan keperluan tersebut disebabkan oleh musim tengkujuh yang melanda negeri-negeri Pantai Timur yang menyebabkan nelayan tidak dapat turun ke laut.

Dalam hal ini KPDNHEP seharusnya tidak hanya menilai harga barang secara bermusim, tetapi perlu dilihat trend peningkatan dalam tempoh panjang iaitu antara 3 bulan sehingga setahun lalu.

Ini kerana peningkatan barangan bukan keperluan harian dan barang bukan kawalan seolah-olah gagal dibendung dan penulis bimbang kenaikan harga itu akibat ketamakan pembekal dan pemborong yang cuba mengaut keuntungan melampau.

Antara barangan yang dilihat meningkat mendadak ialah barangan penjagaan diri, produk makanan kering, barangan penjagaan kenderaan, alat tulis dan lain-lain.

Justeru, diharapkan pihak KPDNHEP dapat menggariskan satu pelan perancangan bagi membendung kenaikan harga semua barangan, dan tidak hanya tertumpu barangan kawalan dan basah.

Pelan itu diharapkan bukan sahaja untuk tempoh jangka pendek tetapi juga untuk jangka masa panjang memandangkan pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia, dan kesannya dijangka akan terus berpanjangan. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan