KUALA LUMPUR – Pelakon Emma Maembong dan suaminya, Shazli Azhar mengesahkan mereka positif Covid-19 selepas menjalani ujian calitan di kediaman pasangan itu.
Menerusi akaun rasmi Instagram miliknya, Emma atau nama sebenarnya, Fatimah Rohani Ismail, 29, memberitahu, dia positif virus itu walaupun tidak mempunyai sebarang gejala.

Katanya, keputusan itu diketahui selepas dia menjalani ujian calitan Covid-19 di kediamannya melalui perkhidmatan sebuah klinik.
Dalam status sama, Emma menyertakan sebuah video berdurasi 41 saat yang menunjukkan dia sedang menjalani ujian calitan di kediamannya.
“Buat ujian calitan di rumah sendiri bersama @kumpulan_megaklinik_zahran. Sangat bagus dan profesional. Mereka boleh datang ke rumah dan lakukan.
“Saya tiada apa-apa simptom tapi keputusan ujian calitan positif. Jadi, walaupun rasa sihat, buat sahaja ujian calitan sebab kita tidak tahu ada atau tidak virus tersebut dalam diri kita,” tulisnya.
Sementara itu, suami Emma, Shazli menerusi akaun Instagram miliknya mengesahkan dia turut positif Covid-19.
“Namun Alhamdulillah, bertambah baik. Berhati-hati semua, patuhi SOP,” tulisnya lagi. – Edisi 9