28.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Terlalu rindu! 2 beradik redah gelap malam ziarah pusara ibu

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – “Saya nak pergi kubur mama saya, saya rindu mama saya.”

Demikian reaksi pertama diberikan seorang kanak-kanak kepada seorang pemuda yang terkejut menemukan budak itu dan dua yang lain di tepi pagar sebuah kawasan perkuburan dekat Kota Bharu, Kelantan, malam semalam.

Menerusi perkongsian Syaffiq S. Salleh dalam catatan Facebook miliknya hari ini berkata, ketika kejadian, dia sedang minum air bersama rakan dan bapa saudaranya di sebuah kedai tepi kubur.

Seorang anak Allahyarhamah Nasuha menziarah kubur ibunya malam tadi. – Foto FB Syaffiq S. Salleh

Katanya, sedang asyik minum, mereka ternampak kelibat tiga orang kanak-kanak sedang bermain di pagar kubur.

Dengan berbekalkan cahaya lampu telefon pintar katanya, mereka bertiga pergi menghampiri kanak-kanak itu dalam lingkungan 12, 8 dan 5 tahun.

Dia pun bertanya: “Awak buat apa kat sini dik?

“Saya nak pergi tengok kubur mama saya, saya rindu mama saya,” jawab kanak-kanak perempuan itu.

“Terkejut dengar. Kubur gelap, jalan ke kubur gelap, hutan kiri kanan. Budak kecil-kecil ini berjalan kaki datang, berani masuk dalam kawasan kubur yang gelap tu. Bayang la perasaan rindu dia tu sampai tak rasa takut pun. TERLALU RINDU,” tulis Syaffiq lagi.

Kata Syaffiq, selepas itu, mereka menuju ke kubur ibu kepada kanak-kanak berkenaan sementara bapa saudaranya membuka lampu.

Ujarnya, sampai di kubur dimaksudkan, kejadian meruntun jiwanya berlaku apabila kanak-kanak itu terus duduk dan mengusap tanah kubur yang masih basah.

“Mama kakak mintak maaf mama, kakak rindu mama,” itu antara petikan pelbagai luahan kanak-kanak berkenaan yang membuatkan Syaffiq hendak menangis.

Jelas pemuda itu, dia difahamkan Allahyarham ibu kepada kanak-kanak itu meninggal dunia selepas empat hari bersalin anak ketiga dan dikebumikan di tanah perkuburan tersebut pagi semalam.

Malam tadi katanya, satu kenduri tahlil diadakan di rumah arwah dan dipercayai atas faktor itu, orang-orang dewasa tidak dapat menuruti permintaan kanak-kanak berkenaan.

“Rumah tu dalam 400 meter sahaja dari kubur. Tapi keadaan gelap sungguh. Berapa nekadnya adik ini nak jumpa mama dia, nak luah, nak bercakap, nak beritahu rindu,” tulisnya lagi.

Syaffiq dalam pada itu meminta orang ramai sedekahkan al-Fatihah kepada arwah ibu kanak-kanak tersebut.

Dalam ruangan komen, Syaffiq turut menyertakan pautan berita membabitkan Allahyarhamah Nasuha Sulaiman yang merupakan pemilik Mee Celup Michelin dekat Bangi.

Nasuha atau NB Mok Nah, merupakan isteri kepada Ahmad Fakrur Ruzi Aziz dan meninggal dunia lebih kurang pukul 5 pagi 12 Januari lalu.

Pemergian Allahyarhamah selepas melahirkan bayi lelaki yang merupakan anak ketiga pasangan itu selepas dikurniakan dua anak perempuan. – Edisi 9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan