36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Apakah masa depan kita di tahun 2021?

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9


Oleh: NORDIN ABDUL MALEK

Masih belum terlambat untuk saya untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru 2021 kepada peminat dan pembaca kolum Randau.

Setiap kali tahun baru maka pelbagai azam baru menjadi harapan, namun apa yang pasti, di sebalik kedatangan tahun baru, usia kita sebenarnya sudah semakin singkat untuk kembali kepada Allah.

Tahun 2020 telah meninggalkan pelbagai kenangan luar biasa dalam hidup kita. Pada mulanya, kita pasti akan teruja menyambut tahun 2020 sebagai sebuah negara maju berteraskan Wawasan 2020 yang dicetuskan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 1992.

Namun, keghairahan kita menjadi anti klimak apabila situasi politik negara menjadi semakin kronik sejak Pakatan Harapan (PH) tumbang pada Februari tahun lalu.

Wabak Covid-19 yang melanda menambahkan lagi kekalutan negara dan dunia. Paling menakutkan ialah impak Covid-19 akan memberi kesan kepada 7.5 bilion manusia di dunia termasuk 30 juta rakyat Malaysia.

Apakah situasi kehidupan kita pada tahun 2021 ini?

Saya berpendapat penduduk dunia akan terus berada dalam keadaan dilema sehingga sekurang-kurangnya pada tahun 2023 iaitu situasi serba salah antara mahu menjaga kepentingan kesihatan atau menggerakkan sektor ekonomi yang semakin terkesan dengan masalah Covid-19 ini.

Walaupun wujudnya vaksin menangani Covid-19, namun itu bukanlah jaminan bahawa wabak ini dapat ditangani dengan selamat. Ini bermakna kita sudah melangkah ke fasa lebih mencabar iaitu menangani impak Covid-19 terutama impak ekonomi. Kesannya sudah semakin dirasakan.

Saya yakin tahun ini akan lebih mencabar kerana impak sebenar Covid-19 hanya akan dirasai pada tahun ini. Tahun 2020 adalah permulaan wabak Covid-19, manakala tahun 2021 adalah permulaan kepada impak sebenar kesan Covid-19.

Sukar untuk kita melindungi hakikat impak ini kerana Covid-19 adalah wabak dunia yang fakta, data dan keadaan sebenar dapat diakses daripada situasi dan pengalaman negara lain. Tiada istilah memanipulasi data, fakta dan situasi sebenar kerana setiap manusia mempunyai maklumat di hujung jari.

Saya yakin, dua perkara menjadi impian rakyat Malaysia iaitu kestabilan politik dan ekonomi yang menjadi antara vaksin penting kesejahteraan rakyat Malaysia pada tahun 2021.

Rata-rata rakyat Malaysia sudah muak dengan percaturan politik yang semakin rencam di Malaysia. Akhirnya, rakyat sudah melihat gelagat golongan pemain politik kotor yang hampir sama ditonjolkan oleh parti manapun yang memerintah.

Rakyat sudah dapat menilai corak pemerintahan semua model parti iaitu model Barisan Nasional, model Pakatan Harapan dan terkini model campuran BN, PH dalam Perikatan Nasional. Kesemuanya bersifat ‘dua kali lima’.

Maka ramai yang sudah mula menyuarakan betapa perlunya pemimpin-pemimpin lama yang sudah bersifat dinosaur untuk beralah dan meninggalkan kancah politik atau parti mereka akan ditolak sepenuhnya paada pilihanraya umum akan datang. Apakah akan muncul hero baru dan parti baru yang akan menjadi pilihan rakyat bermula tahun 2021 ini?

Begitu juga harapan ekonomi yang menggunung pada tahun 2021 ini. Cabaran besar kita ialah mengimbangi keperluan ekonomi dan pencegahan wabak Covid-19 yang memberi kesan kepada ekonomi.

Kerajaan telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga Mac 2021. PKPD dan PKPB masih dilaksanakan di beberapa kawasan, daerah dan negeri.

Justeru, bagi menangani cabaran ini, kita perlu melaksanakan apa yang diistilahkan sebagai Hidup Bersama Covid (living with covid). Gerak kerja harian perlu diteruskan dengan mematuhi syarat dan SOP yang telah ditetapkan.

Namun, untuk mengambil sikap bekerja sambil lewa, kononnya kerana SOP covid atau amalan kerja dari rumah (work from home) tidak boleh dipandang ringan oleh semua pihak.

Kehidupan kita selepas wabak covid yang turut disebut sebagai norma baharu bukanlah menjadikan kita lebih selesa, malas atau mengambil kesempatan untuk melengah-lengahkan kerja.

Haarisa Milliya Norhafiz merasai pengalaman menyiram
sayuran ketika bersama keluargan melawat Kompleks IGROW di Kampung Gajah, Perak.

Tindakan sebegini akan memburuk keadaan dan menjadikan impak covid 19 ini akan menjadi satu bencana buruk dalam sejarah dunia buat kita semua.

Alhamdulillah, saya mengakhiri tahun 2020 dengan majlis konvokesyen yang sangat terhad penyertaannya dan mematuhi SOP ketat pada 31 Disember lalu.

Walaupun saya akui dan sedih apabila ibu bapa dilarang memasuki dewan menyaksikan anak-anak mereka di pentas tetapi saya memberi peluang mereka bergambar secara terhad di ruang yang disediakan.

Kelihatan ibu bapa menangis kerana gembira melihat kejayaan anak-anak mereka menimba ilmu dan sebahagian besarnya telah bekerja di syarikat perladangan terkemuka dan menjadi usahawan tani.

Jika kita sentiasa positif dalam hidup, bersangka baik dengan Allah dan berbuat baik sesama manusia, tahun baru hanyalah angka baru dan peningkatan usia manusia.

Maka akan wujud perasaan yakin dengan masa depan, menerima qada’ dan qadar Ilahi serta menerima hakikat diri.

Semoga tahun 2021 akan lebih baik untuk kita semua berbanding tahun-tahun sebelum ini. Selamat Tahun Baru 2021.

  • Penulis adalah Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (IGROW) dan Aktivis Ekonomi Sosial. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan