36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Annuar sahkan Presiden UMNO tandatangan SD sokong Anwar

Mesti Baca


KUALA LUMPUR – Tan Sri Annuar Musa hari ini mengesahkan pemimpin tertinggi parti termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri.

Dalam sidang media khas mengenai pemecatannya sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) hari ini, ahli Parlimen Ketereh itu berkata, akuan itu juga dipersembahan kepada Yang di-Pertuan Agong sekali gus bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, ini merupakan pertama kali surat bertarikh 11 Oktober itu didedahkan kerana beliau tidak bersetuju dengan pendirian menyokong Presiden PKR itu.

“Saya mengesahkan wujudnya sokongan secara hitam putih oleh presiden UMNO kepada Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan PN yang dianggotai BN.

“Saya tahu semua sekali dan surat ini saya sudah semak dengan banyak pihak dan surat ini adalah tulen,” katanya.

Annuar dalam pada itu berkata, tindakan diambil Ahmad Zahid merupakan percubaan dan perundingan yang melibatkan DAP dalam apa yang diistilahkan pembentukan jajaran baru politik.

Selain itu katanya, percubaan menggugat kestabilan kerajaan PN berkali-kali yang menyebabkan terjejasnya hubungan baik terutamanya antara UMNO, Pas dan Bersatu yang merupakan parti teras yang telah mewujudkan Perpaduan Melayu dan Islam di negara ini.

“Selaku setiausaha agung BN, saya hanya boleh melaksanakan tugas dengan baik jika wujud perasaan saling meyakini dan mempercayai dengan pengerusi gabungan tersebut.

“Walaupun sememangnya wujud suasana sedemikian sebelum ini, namun sejak kebelakangan ini, suasana tersebut telah berubah berikutan beberapa perkara, peristiwa dan dasar yang menuntut saya mempertahankan prinsip dan Pendirian politik saya secara tegas serta berterus terang,” katanya.

Annuar memberitahu, selain sokongan secara hitam putih yang diberikan kepada Anwar, ada beberapa isu yang timbul sewaktu beliau menjadi Setiausaha Agung BN.

Antaranya kata Annuar:

*Seruan demi seruan untuk dibubarkan parlimen dan mengadakan pilihan raya dalam situasi rakyat menderita akibat penularan pandemik Covid-19 dan tekanan ekonomi yang sangat berat.

*Situasi flip-flop pimpinan khususnya Pengerusi BN dalam perkara-perkara dasar berhubung Muafakat Nasional (MN) sehingga berlaku kesamaran dan kekaburan dalam hala tuju MN

*Kegagalan pimpinan mewujudkan keharmonian dan ketertiban dalam parti hingga berterusan bertelagah secara terbuka telah menyebabkan terhakisnya keyakinan rakyat terhadap visi yang dibawa oleh parti.

*Keputusan-keputusann parti seperti No DAP, No Anwar, sokongan en-bloc kepada kerajaan PN dan lain-lain telah tidak dihormati.

“Perbezaan pendirian ini menuntut saya mengambil ketetapan untuk tidak bersekongkol dengan gerakan-gerakan yang tidak selari dengan keputusan rasmi MKT (Majlis Kerja Tertinggi Umno),” katanya.

Dengan perbezaan prinsip itu kata Annuar adalah lebih baik untuknya tidak bersubahat dengan hala tuju Ahmad Zahid.

Katanya, selepas tidak lagi menjadi setiausaha agung BN, beliau lebih bebas bertindak dan membuat pendirian politik mengikut hati nuraninya sendiri bersama rakan-rakan yang sealiran.

“Justeru, saya dengan penuh reda menerima pemecatan ini dan berserah kepada Allah SWT.

“Saya akan terus berjuang atas wadah perjuangan Umno dan akan terus menyumbang ke arah UMNO yang bermaruah, berintegriti dan kekal memimpin penyatuan ummah dan menunjangi permuafakatan nasional,” katanya.

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan