25.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

UMNO tak tolak kemungkinan bentuk kerajaan Perak bersama PH

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi tidak menolak kemungkinan parti itu akan bergabung dengan beberapa parti lain, termasuk Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan negeri di Perak.

Bercakap kepada wartawan selepas menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta, Ahmad Zahid berkata, langkah itu terpaksa dibuat susulan kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebelum ini.

“Kita tahu daripada kenyataan Setiausaha Agung Pas dan PPBM, maka satu pendekatan baru akan diambil oleh UMNO dan BN bagi membentuk kerajaan baru. Tetapi ia akan mengambil kira semua pertimbangan politik agar kerajaan yang terbentuk lebih kukuh dukungannya.

“Oleh itu, saya akan kemukakan cadangan nama kepada Sultan Perak untuk perkenan Tuanku dan Tuanku yang akan tentukan secara mutlak. Kerana itu Tuanku sepenuhnya bagi menentukan siapa yang akan diperkenankan sebagai Menteri Besar Perak yang baharu,” katanya.

Beliau sebelum itu menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selama hampir satu jam bagi menyembah maklum situasi terkini politik dan pendirian UMNO dalam krisis yang berlaku.

Ahmad Zahid berkata, UMNO dan BN akan melihat segala kemungkinan yang ada.

“Kita akan lihat semua kemungkinan. Saya sebutkan, seboleh mungkin kita kekalkan jajaran terdahulu, tetapi kalau itu kita tidak dapat lakukan, tentu ada penyesuaian yang harus dilakukan untuk penjajaran yang baru.

“Semua kemungkinan akan ada (kerjasama dengan PH). Itu tertakluk kepada keputusan muktamad oleh pihak parti,” ujarnya.

Ditanya sama ada beliau telah berbincang dengan parti lain bagi menentukan gabungan kerajaan baharu di Perak, Ahmad Zahid berkata,

“Saya telah hadiri Mesyuarat Perhubungan UMNO malam tadi, saya bertemu semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak yang mewakili UMNO. Dan, perbincangan dengan parti-parti lain di negeri Perak telah diadakan oleh pemimpin-pemimpin UMNO and BN Perak. Manakala saya akan adakan perbincangan di peringkat pusat,” katanya.

Ujarnya, setelah ia dapat dimuktamadkan, UMNO akan mengemukakan nama calon Menteri Besar Perak yang baharu. – Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan