36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Sanggupkah UMNO dituduh ‘menjilat ludah sendiri’?

Mesti Baca

APAKAH UMNO sanggup menggadaikan prinsipnya? Apakah benar UMNO bersedia ‘menyembah’ Pakatan Harapan (PH) semata-mata mahu menubuhkan kerajaan negeri di Perak?

Apakah pemimpin dan ahli UMNO di peringkat akar umbi bersedia menerima langkah politik yang dianggap ‘songsang’ itu jika ia dilakukan?

Itulah persoalan yang perlu dijawab oleh UMNO apabila parti itu tersebut melalui Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyatakan tidak menolak kemungkinan akan bekerjasama dengan parti-parti lain termasuk PH bagi membentuk kerajaan negeri Perak.

Walaupun Ahmad Zahid menyatakan bahawa UMNO dan BN akan melihat segala kemungkinan yang ada (termasuk kerjasama dengan PH), namun sepatutnya soal mahu menjalin kerjasama dengan parti dalam PH sama sekali tidak boleh ada dalam perkiraan parti tersebut.

Seharusnya perundingan untuk membentuk kerajaan negeri Perak hanya berlegar dalam kalangan parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) sahaja.

Biarpun Pas menyatakan tidak akan turut serta manakala Bersatu kesal dengan apa yang berlaku berikutan tersingkirnya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu daripada kerusi Menteri Besar Perak, ia tidak bermaksud pintu rundingan dengan kedua-dua parti itu sudah tertutup.

Kalaupun kedua-dua parti berkenaan tetap dengan pendirian masing-masing, membubarkan DUN Perak dan menyerahkan kembali mandat kepada rakyat jauh lebih bermaruah daripada UMNO mengadakan kerjasama dengan parti-parti dalam PH terutama DAP.

Ia bukannya soal apa masalah yang ada kepada parti-parti dalam PH tetapi soalnya tak kanlah UMNO bersedia menggadaikan dasar ‘No Anwar,No DAP’ dan tak kanlah kerana mahu jawatan Menteri Besar Perak sehingga sanggup mempertaruhkan masa depan parti dalam agenda lebih besar iaitu menang dalam PRU-15.

Pemimpin-pemimpin UMNO yang lain juga perlu bersuara dan secara tegas harus menolak sebarang kerjasama dengan PH di Perak.

Kalau mahu bekerjasama dengan PKR dan Amanah sahaja ia tidak akan berlaku kerana DAP adalah parti dominan dalam pakatan tersebut.

Tak kan PKR dan Amanah sanggup meninggalkan DAP semata-mata mahu bekerjasama dengan UMNO?

Diharapkan apa yang dinyatakan oleh Ahmad Zahid kekal sekadar kemungkinan sahaja. Ahmad Zahid harus tegas dalam soal ini dan bukannya bermain dengan kata-kata.

Sebagai Presiden parti, beliau perlu menolak sebarang kemungkinan untuk bekerjasama dengan PKR dan DAP kerana ia melibatkan soal prinsip dan maruah UMNO.

Beliau perlu berusaha memperbaiki hubungan parti itu dengan Bersatu dan Pas.

Langkah itu jauh lebih baik daripada membawa UMNO bersekongkol dengan PH. Apatah lagi dalam perkembangan terbaru, Pas Perak menzahirkan komitmen untuk mempertahankan Kerajaan PN di Perak.

ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria berkata, ini berdasarkan keputusan pucuk pimpinan untuk menyokong kerajaan yang telah dibina bersama atas permuafakatan antara Pas dengan Bersatu dan UMNO.

Justeru, walaupun dalam politik segalanya berkemungkinan dan tiada musuh atau kawan yang kekal, tetapi agak-agaklah!

Tak kan UMNO sanggup dituduh ‘menjilat ludah sendiri’ dengan menjalinkan kerjasama dengan DAP? Hanya pemimpin yang ada kepentingan sahaja sanggup berbuat demikian. – Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan