28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Pegawai Imigresen hadapi 17 tuduhan terima rasuah

Mesti Baca


KUALA LUMPUR – Seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 17 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM21,500 daripada seorang wanita bagi melepaskan warga asing yang melakukan kesalahan imigresen melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Portal Free Malaysia Today melaporkan Mohd Al-Ridhuan Ahmad Zaini, 35, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan hakim Rozina Ayob.

Mengikut kesemua pertuduhan, lelaki itu didakwa menerima suapan wang berjumlah RM21,500 daripada Nur Amanina Maulad Adnan melalui akaun Maybank dan CIMB Bank kepada akaun Bank Muamalat Syarikat Entiti Maju Enterprise milik Nurul Natasha Andrew, iaitu isteri tertuduh.

Perbuatan itu sebagai upah untuk diri tertuduh sebagai pegawai gred KP19 membantu melepaskan warga asing yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) untuk keluar dari Malaysia melalui pintu keluar udara KLIA2 tanpa diambil tindakan undang-undang.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Tasik Utama 7, Medan Niaga Tasik Damai di sini antara 25 Julai dan 11 Nov lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin menawarkan jaminan RM80,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan, iaitu tertuduh perlu melapor diri sebulan sekali di Ibu Pejabat SPRM, selain pasportnya diserahkan kepada mahkamah dan dilarang mengganggu saksi dalam kes ini.

“Ini merupakan satu kesalahan serius dan cara tertuduh melakukan kesalahan ini adalah cara seorang pengkhianat kepada negara,” katanya.

Peguam Harcharanjit Singh yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan kepada RM20,000 dengan alasan anak guamnya mempunyai tiga anak yang masih kecil berumur antara dua dan tujuh tahun serta memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan.

Rozina membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan berserta syarat tambahan, iaitu tertuduh perlu melapor diri sebulan sekali di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, pasport diserahkan kepada mahkamah dan dilarang mengganggu saksi sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 12 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes.

Media pada 28 November lalu, melaporkan 65 orang, terdiri daripada 39 pegawai Jabatan Imigresen, 17 ejen dan sembilan orang awam ditahan berkaitan Op Selat, yang digerakkan oleh SPRM dengan kerjasama jabatan itu bagi membanteras sindiket rasuah dalam pemalsuan cap kemasukan bagi melintasi sempadan negara.

Terkini

Siti Hajar, pendiam tapi aktif dalam aktiviti kemasyarakatan

BERBEZA dengan mahasiswa lain yang aktif di kampus, gadis ini sering dianggap pendiam, walaupun banyak menyertai malah turut berpeluang...

Lagi Artikel Berkaitan