25 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Lelaki Singapura didakwa seludup masuk 4 anak kucing dalam seluar

Mesti Baca

SINGAPURA – Cubaan seorang lelaki tempatan menyeludup masuk empat anak kucing hidup di dalam seluarnya dari Malaysia mengundang padah apabila dia didakwa di sebuah mahkamah di sini, semalam.

Berita.Mediacorp.sg melaporkan, lelaki berusia 46 tahun itu didakwa atas percubaan untuk menyeludup haiwan-haiwan itu dari Malaysia ke Singapura melalui Pusat Pemeriksaan Tuas.

Justin Ng Chin Boon turut didakwa bersama Leow Hua Liang, pemandu kereta yang dinaiki Ng dan seorang wanita.

Akibat kesalahannya itu, Ng seorang rakyat Singapura, berdepan dengan 15 tuduhan di bawah Akta Haiwan dan Burung. 

Dia dituduh cuba membawa masuk anak kucing itu sejurus sebelum tengah malam pada 2 Januari 2019.

Menurut dokumen mahkamah, dia didakwa menyebabkan anak kucing itu melalui penderitaan yang tidak perlu, dengan cuba menyeludup haiwan-haiwan tersebut dalam “keadaan dengan pengudaraan yang lemah dan kawalan suhu yang buruk”.

Anak-anak kucing itu turut “terdedah kepada panas badannya”.
Selain itu, Leow, 42 tahun yang juga merupakan seorang warga Singapura, berdepan 17 pertuduhan dan dia didakwa membantu penyeludupan dengan memandu kereta yang dinaiki Ng.

Tidak jelas bagaimana mereka saling mengenali antara satu sama lain.

Sebelum ini, Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) mengumumkan bahawa para pegawainya mengesan beberapa ekor anak kucing di Pusat Pemeriksaan Tuas.

Menurut ICA, mereka melakukan pemeriksaan lebih lanjut apabila mereka terdengar bunyi mengiau dari seluar Ng.
 Ng dan Leow juga berdepan dengan tuduhan beberapa kali menyeludup haiwan keluar masuk dari Singapura.

Advertisements

Leow dipercayai melakukan kesalahan itu tiga hari selepas insiden pertama.

Dia dipercayai mengeksport dua ekor burung dari Singapura ke Malaysia melalui Pusat Pemeriksaan Tuas, menyembunyikan burung-burung itu dalam kantung duit syiling berzip dalam panel pintu pemandu.

Leow dan Ng juga dituduh membantu Leong Sok Boy, seorang wanita berusia 71 tahun, untuk mengimport tujuh ekor kucing ke Singapura melalui Pusat Pemeriksaan Tuas pada 11 Ogos 2018.

Haiwan-haiwan itu disembunyikan dalam beg tangan atau beg kanvas plastik.

Kedua-dua lelaki itu dipercayai tidak mengisytiharkan kucing-kucing tersebut kepada para pegawai kastam.

Ng juga dikatakan membantu menyembunyikan beg tangan itu, sementara Leow pula dipercayai bertindak sebagai pemandu sekali lagi.

Leong, seorang warga Singapura, juga didakwa dengan tujuh tuduhan mengimport kucing. Ketiga-tiga tertuduh akan dihadapkan ke mahkamah sekali lagi pada 27 Januari depan.

Di bawah Akta Haiwan dan Burung, sesiapa yang didapati bersalah kerana mengimport atau mengeksport haiwan tanpa permit boleh dihukum penjara sehingga setahun, didenda tidak melebihi S$10,000 (RM30,515) atau kedua-duanya sekali.

Sesiapa yang didapati bersalah kerana menyebabkan kesakitan atau penderitaan yang tidak perlu pada haiwan boleh dipenjara sehingga 18 bulan, didenda sehingga S$15,000 (RM45,760) atau kedua-duanya. 

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan