23.4 C
Kuala Lumpur
Sunday, October 6, 2024

Iktiraf, ingati, abadikan sumbangan ilmuwan Malaysia

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Kerajaan wajar mengiktiraf, mengingati dan mengabadikan sumbangan ilmuwan di negara ini dengan selayaknya selain memberikan penghormatan tertinggi kepada cendekiawan yang sumbangannya sangat luar biasa.

Berikut merupakan kenyataan penuh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang dimuat naik dalam Facebook beliau hari ini:

Negara baru sahaja kehilangan seorang ilmuwan yang bukan sahaja sangat tinggi ilmunya.

Namun seluruh hayatnya diabdikan untuk membawa kebaikan kepada bangsa dan tanah air. 

Pemergian Guru Bangsa, Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz memberi kedukaan kepada kita semua.

MOHAMED KHALED NORDIN

Kepulangan sosok sebegini memberikan impak dan lompong yang besar dalam nurani bangsa.

Mana mungkin kepulangannya tidak menyentap segenap rasa dalam diri kita sebagai sebuah masyarakat, yang sangat terhutang kepadanya. 

Saya kira, kita sebenarnya telah terlepas peluang penting untuk memberikan beliau penghormatan terakhir yang lebih besar dan selayaknya.

Sebagai sebuah negara, kita mesti mengangkat orang berilmu, apa lagi jasawan rakyat dan kesatria bangsa seperti Allahyarham.

Kita wajar memberikan penghormatan tertinggi kepada sang puspa bangsa yang sumbangsihnya sangat luar biasa.

Kerana yang demikian itu akan memberi cerminan terhadap cara kita menyantuni ilmu dan memaparkan pemikiran sebagai bangsa maju.

Jasa dan sumbangan besar Ungku Aziz tidak mungkin luput dari ingatan.

Insya-Allah, kesemuanya akan terus menjadi pelita yang bernyala abadi dalam kehidupan masyarakat.

Advertisements

Tetapi, apa yang harus kita sebagai sebuah bangsa dan masyarakat, malah sebagai sebuah negara, harus lakukan untuk menyahut dan menghidupkan pemikirannya?

Cukupkah kita sekadar memberikan ucapan takziah dan belasungkawa yang nadanya begitu malar sekali.

Saya menyeru kerajaan mengiktiraf, mengingati dan mengabadikan sumbangan ilmuwan dengan selayaknya.

Jika di Bologna, Itali, mereka memilih menyemadikan ilmuwan mereka di perkarangan universiti atau gereja.

Pada tahun 2009, Parlimen Cook Island ditangguhkan semata-mata kerana mahu memberikan penghormatan pengebumian negara kepada sarjana besar Profesor Ron Crocombe.

Malah, bulan lepas, Malta memberikan State Funeral kepada Profesor Oliver Friggieri, seorang tokoh ilmuwan terkemuka negara tersebut.

Dalam Islam, ilmu yang bermanfaat (di samping doa anak yang soleh serta sedekah jariah) adalah urusan dunia yang tidak akan terputus sekali pun seseorang itu telah meninggal dunia.

Selain ketakwaan, tahap dan ketinggian ilmu seseorang itu adalah antara perkara yang membezakan kedudukannya di sisi pandangan Allah SWT. Demikianlah peranan ilmu dalam memartabatkan manusia.

Maka bagi mengenang sumbangan luar biasa Prof Di Raja Ungku Abdul Aziz, sangatlah sesuai Fakulti Ekonomi Universiti Malaya dan Bangunan Tabung Haji itu, mengabadikan nama Ungku Abdul Aziz, sebagai mengiktiraf kedudukannya sebagai Guru Bangsa.

Allahyarham Ungku Abdul Aziz adalah guru ulung yang mengajar kita untuk menjadi bangsa yang besar.

Allahyarham mengabdikan dirinya untuk tuhan, ilmu dan manusia dengan sebenar-benar pengabdian. Nilainya sejuta umat.

Atas segala jasa, darmabakti, pengorbanan, ilmu dan didikan, terima kasih Pak Ungku.

Selamat berpulang Guru Bangsa.

Advertisements

Terkini

‘Bike Week’ Team Selangor bina semangat patriotisme

TEAM Selangor telah menganjurkan program ‘Bike Week’ dalam usaha membina semangat patriotisme sempena bulan Kemerdekaan 31 Ogos dan Hari...

Lagi Artikel Berkaitan