26.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

UMNO perlu tamatkan spekulasi soal kerjasama dengan Anwar,DAP

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

HARI ini portal berita MalaysiaNow melaporkan, UMNO bertindak melakukan satu soal selidik dalaman melibatkan petugas komunikasi parti itu bagi mengukur sama ada ahlinya terbuka untuk bekerjasama dengan PKR dan DAP.

Laporan itu menyatakan beberapa sumber UMNO memberitahu MalaysiaNow, soal selidik dalaman itu merupakan satu “tinjauan pendapat” membabitkan kakitangan komunikasi parti tersebut di seluruh negara, akan mengukur sentimen berhubung kerjasamanya bersama Pas dalam Muafakat Nasional (MN), satu piagam bersejarah yang ditandatangani oleh dua parti terbesar Melayu ketika mereka merupakan pembangkang tiga tahun lalu.

“Menariknya, salah satu soalan yang diajukan dalam tinjuan itu, wajarkah UMNO menjalinkan kerjasama dengan PKR dan DAP?” kata sumber yang mengetahui tentang soal selidik tersebut kepada MalaysiaNow.

Ia menambah wujud keperluan yang kritikal untuk mengetahui hala tuju politik UMNO dan apakah kerjasama dengan Pas sudah memadai sebagai parti tunjang dalam Muafakat Nasional (MN) atau lebih kukuh dengan penyertaan Bersatu.

Penulis tidak pasti sejauh manakah kebenaran laporan itu tetapi kalau betul, ia sesuatu yang agak menarik diperkatakan kerana sepatutnya soalan kajian seumpama itu tidak wajar lagi dibangkitkan kerana sebelum ini parti itu dengan tegas mempertahankan dasar ‘No Anwar, No DAP’.

Hakikatnya, ini bukanlah kali pertama isu berkaitan kerjasama dengan Anwar diperkatakan. Sebelum ini portal berita yang sama mendakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menulis surat secara bersama kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan sokongan untuk Anwar menjadi Perdana Menteri.

Bagaimanapun laporan itu dinafikan dengan tegas oleh Ibupejabat UMNO dan menganggap ia sebagai fitnah.

Penulis menerima penafian tersebut. Ia memandangkan tidak mungkin kedua-dua pemimpin tersebut tergamak berbuat demikian dan baru-baru ini tersebar pula dakwaan kononnya ada gerakan untuk mengumpulkan akuan bersumpah dalam kalangan ahli-ahli Parlimen UMNO untuk menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.

Dakwaan itu dilaporkan agar terperinci dalam sebuah blog dan satu akaun Facebook.

Bagi penulis, spekulasi atau dakwaan seumpama ini tidak baik untuk UMNO kerana ia akan menyebabkan ada dalam kalangan pemimpin parti itu dituduh sedang melakukan gerakan bagi menjalinkan kerjasama dengan Anwar dan DAP.

Justeru adalah lebih baik jika UMNO membuat kenyataan rasmi sekali lagi untuk mempertegaskan bahawa parti itu menolak sebarang kerjasama dengan kedua-dua pihak berkenaan.

Kalau itu tidak dilakukan, lama kelamaan orang akan percaya memang ada usaha untuk mewujudkan kerjasama tersebut.

Bagaimanapun penulis percaya pemimpin dan ahli UMNO khususnya di peringkat akar umbi tidak akan mudah menerima gerakan seumpama itu, apatah lagi mahu bekerjasama dengan DAP kerana jika benar ada gerakan politik aneh tersebut, kelompok pemimpin seumpama itu harus ditolak.

UMNO perlu terus memperkukuhkan Muafakat Nasional melalui kesepakatan dengan Pas dan pada masa sama perlu mencari jalan bagi memperbaiki hubungan dengan Bersatu.

Walaupun dengan Bersatu, nampak agak sukar tetapi sekurang-kurangnya kerjasama berkenaan akan mewujudkan penyatuan orang Melayu dalam kerangka lebih besar.

Apapun untuk UMNO mengadakan kerjasama dengan Anwar dan DAP ia adalah sesuatu yang cukup janggal kecuali kelompok yang terdesak sahaja sanggup berbuat demikian. Bagaimanapun penulis percaya majoriti pemimpin dan ahli UMNO sama sekali tidak akan merestui kerjasama berkenaan.

Ia memandangkan mereka akan bertanya, apakah bekerjasama dengan Anwar dan DAP adalah jauh lebih baik berbanding berusaha memperbaiki hubungan dengan Bersatu?

Sebab itulah sudah sampai masanya kepemimpinan UMNO khususnya Presiden parti, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa parti itu menolak sebarang kerjasama dengan Anwar dan DAP.

Kalau langkah itu tidak dilakukan selagi itulah pelbagai spekulasi akan timbul sehingga ia akhirnya akan menyebabkan wujud tanggapan bahawa apa yang dilaporkan adalah benar belaka dan menimbulkan persoalan adakah dalam UMNO ada kelompok yang mahu mengkhianati dasar parti sendiri.

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan