29.2 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Kerajaan tidak bercadang benarkan jemaah laksana umrah

Mesti Baca


KUALA LUMPUR – Kerajaan atas nasihat Kementerian Kesihatan tidak bercadang untuk membenarkan jemaah Malaysia bagi menunaikan umrah walaupun Kerajaan Arab Saudi telah membuka sempadan untuk jemaah luar negara.

Pendirian kerajaan itu dinyatakan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui laman Facebook beliau malam ini.

‘’ Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) menjelaskan walaupun kerajaan Arab Saudi telah membenarkan ibadah umrah dijalankan selama 10 hari, kerajaan atas nasihat Kementerian Kesihatan tidak bercadang untuk membenarkan jemaah Malaysia ke sana pada masa ini,’’ katanya.

Pada Ahad lalu, jemaah umrah dari Pakistan dan Indonesia menjadi jemaah pertama tiba di Jeddah bagi menunaikan ibadah itu.

Muhyiddin berkata, ketika mempengerusikan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini, Dr.Zulkifli turut menjelaskan ketetapan yang telah dibuat mengenai kebenaran mengadakan majlis pernikahan dan solat Jumaat.

‘’Ia akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum dilaksanakan,’’ katanya.

Perdana Menteri berkata, dalam mesyuarat berkenaan, beliau sekali lagi melahirkan kebimbangan berikutan peningkatan kes-kes positif COVID-19 di beberapa kawasan di Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Johor yang bertukar daripada zon hijau kepada zon kuning atau merah walaupun tindakan dan pendekatan secara mitigasi dan intervensi telah dipertingkatkan.

Advertisements

‘’Seperti yang kita sedia maklum, sidang Dewan Rakyat baru sahaja bermula semalam dan berlangsung dalam keadaan norma baharu dengan pelbagai prosedur operasi standard (SOP) diperkenal.

”Bagaimanapun sepanjang minggu ini sidang Parlimen diadakan setakat pukul 1 petang sahaja berikutan ada beberapa kes COVID-19 yang melibatkan beberapa petugas di Bangunan Parlimen,’’ katanya.

Berikutan kes tersebut, kata Muhyiddin timbul sedikit kebimbangan dalam kalangan Ahli-ahli Parlimen sendiri kerana kedudukan Bangunan Parlimen itu sendiri pun terletak di zon merah dan melibatkan pergerakan keluar masuk Ahli-ahli Parlimen, para pegawai mereka serta kakitangan di situ.

‘’Saya percaya Yang Dipertua Dewan Rakyat dapat menggunakan kebijaksanaan beliau untuk menguruskan perkara ini,’’ katanya.

Selain itu kata Perdana Menteri, dalam mesyuarat itu juga beliau berbincang mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang akan berakhir Disember ini sedangkan situasi semasa masih tidak berubah sehingga ada sesetengah kawasan terpaksa dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

‘’Saya berpandangan ada keperluan untuk PKPP ini diteliti semula bagi kawasan-kawasan yang sedang menghadapi penularan semula wabak COVID-19 terutama di negeri-negeri seperti Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Perak,’’ katanya.

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan