25.5 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Tok Mat ‘muntahkan lava’ perasaan akar umbi UMNO

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9


KENYATAAN Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan yang meminta Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberikan pedoman dan hala tuju jelas kepada parti dan semua ahlinya tentang bagaimana harus meneruskan kerjasama dengan saingan politik parti itu menarik perhatian ramai.

Kata Mohamad, satu konsensus politik yang tegas harus dihasilkan untuk meredakan keresahan, ketidakpuasan hati dan rasa marah ahli terhadap cara UMNO diperlakukan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu juga menegaskan, menuju masa depan, UMNO mesti berhenti bernostalgia bahawa kerjasama politik melalui ‘Langkah Sheraton’ adalah demi menyelamatkan negara.

Kata beliau, episod itu sudah berakhir. Episod seterusnya ialah bagaimana UMNO akan mengemudikan negara ini, memberikan kepemimpinan negara kepadanya dan mencipta masa depan Malaysia yang lebih baik melalui Barisan Nasional (BN) dan bukannya platform politik lain.

Sebenarnya apa yang dizahirkan oleh Mohamad boleh dianggap ‘memuntahkan lava’ perasaan sebahagian pemimpin dan ahli UMNO yang sudah lama terpendam sejak UMNO bersetuju menyertai Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada awal Mac lalu atas dasar mahu menyelamatkan negara.

Bagi pemimpin dan ahli UMNO di peringkat akar umbi, dari semasa ke semasa, biarpun UMNO bersama rakan dalam komponen BN mempunyai 43 kerusi Parlimen tetapi ‘layanan diterima’ khususnya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) amat mengecewakan.

Bukan sahaja soal kedudukan dalam Kabinet malah pemimpin-pemimpin Bersatu juga ramai yang tidak tahu jaga mulut, bercakap ikut sedap sehingga menyinggung perasaan pemimpin, ahli dan penyokong UMNO.

Malah dalam banyak perundingan, UMNO dilihat harus mengalah. Ada dalam kalangan pemimpin Bersatu sudah ‘naik tocang’ dengan beranggapan dan begitu yakin dengan populariti Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, parti itu sudah jauh lebih baik berbanding UMNO.

Lanjutan itu, banyaklah tindakan tidak wajar berlaku termasuk kadang kala orang melihat UMNO bagaikan diperkotak-katikkan dalam urusan politik dengan Bersatu termasuklah yang terbaru di PRN Sabah.

Mohamad Hasan bersama Ahmad Zahid Hamidi

Justeru betullah apa yang dikatakan oleh Mohamad bahawa UMNO perlu memikirkan semula pendekatan politiknya kerana tegas beliau, ” Jika Sabah dijadikan sandaran, kelangsungan, pengaruh dan keterlihatan UMNO akan terus terjejas dalam jangka masa pendek dan akhirnya akan melemahkan UMNO dalam jangka masa panjang.”

Keadaan ini tidak boleh dibiarkan berterusan, UMNO juga ada maruah, UMNO juga ada harga diri dan UMNO juga ada kekuatan sendiri. UMNO tidak boleh tunduk atau dilihat tunduk kepada sebuah parti yang ‘lahir dari perut’ parti keramat tersebut. Bersatu adalah parti serpihan UMNO – ini fakta dan ini hakikatnya.

Ketika ini ramai melihat kerjasama UMNO dengan Bersatu lebih banyak merugikan UMNO. Parti itu dilihat lebih banyak mengalah demi menjaga keharmonian kerjasama dalam Kerajaan Perikatan Nasional. Tetapi soalnya adakah Bersatu mempunyai perasaan yang sama?

Mungkin apa yang diperkatakan ini agak pahit tetapi inilah persepsi, perasaan atau pandangan majoriti pemimpin dan ahli khususnya di peringkat umbi.

Majoriti mereka yang sememangnya pada awal lagi tidak boleh menerima kerjasama dengan Bersatu, kini semakin menyampah dengan apa yang berlaku.

Mohamad amat memahami sentimen yang sedang berkembang di peringkat akar umbi. Beliau mengerti jika sesuatu tidak dilakukan ia akan memberi kesan yang amat buruk kepada UMNO dan BN.

Advertisements

Oleh itu Ahmad Zahid perlu memandang serius ‘seruan’ Mohamad supaya Presiden UMNO tersebut memberikan pedoman dan hala tuju yang jelas kepada parti dan ahlinya.

Beliau perlu memikirkan apa langkah seterusnya bagi mengembalikan semangat pemimpin dan ahli UMNO yang mungkin sudah tergugat dengan pelbagai adegan yang berlalu ketika parti itu bersama PN.

Ahmad Zahid harus membuat satu keputusan yang betul-betul tepat dan rasional, bukannya emosional. Setiap satu tindakan perlu diteliti kesan baik dan buruknya kepada UMNO dan Barisan Nasional.

Buat masa ini dengan menggertak untuk keluar daripada PN bukanlah satu tindakan bijak kerana negara sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Apa yang pemimpin dan ahli UMNO mahukan satu ketegasan ke mana UMNO dalam PRU-15 nanti, apakah akan terus berjuang bersama dengan Pas dalam Muafakat Nasional (MN) sahaja atau mahu terus bersekutu dengan Bersatu yang dilihat lebih banyak ruginya daripada untung.

Sememangnya kita tidak mahu melihat UMNO berantakan hanya kerana ‘orang lain’ dan kita juga tidak mahu UMNO berbalah dengan Bersatu sehingga akhirnya akan sekali lagi melemahkan kuasa politik orang Melayu selepas PRU-15.

Tetapi jika ada dalam kalangan pemimpin Bersatu masih terus memandang UMNO sebelah mata dengan menganggap UMNO parti yang sudah rosak dan tunggu masa untuk karam, maka UMNO berhak untuk berdiri tegak mempertahankan maruahnya.

Sejak krisis politik pada Mac lalu, UMNO sudah banyak berkorban demi rakyat dan negara. Kenyataan ini bukanlah bermaksud mahu mengungkit seperti mana pandangan janggal seorang pemimpin muda Pas baru-baru ini tetapi sekadar mengingatkan.

Janganlah kerana UMNO kalah pilihan raya dan ada segelintir pemimpinnya berhadapan perbicaraan di mahkamah, maka ada pihak menganggap UMNO perlu mengikut sahaja telunjuk politik orang lain.

UMNO bukanlah parti picisan yang ditubuhkan melalui demonstrasi jalanan atau dilahirkan kerana kemarahan seorang pemimpin.

Tetapi UMNO sudah berpuluh-puluh tahun berjuang dalam arena politik tanah air dan bersama-sama komponen BN memerintah negara selama 61 tahun sebelum tumbang pada PRU-14.

Tak kan kerana kekalahan itu, UMNO perlu harus dilayan bagaikan melukut gantang? Tak kanlah kerana kekalahan itu UMNO sudah tidak mampu bangkit semula sebagai parti bermaruah? Tak kanlah kerana kekalahan itu UMNO perlu ikut sahaja kehendak politik orang demi berkongsi secebis kuasa?

Segalanya terserah kepada Ahmad Zahid untuk memikirkannya apakah hala tuju UMNO seperti mana diminta oleh Mohamad.

Di samping memperkukuhkan MN, boleh sahaja untuk meneruskan kerjasama dalam Kerajaan PN tetapi ‘hantarlah isyarat’ kepada Bersatu jangan perkecilkan UMNO, sebaliknya layanlah dan hargai parti itu sebagai kawan sebenar-benarnya.

Misi UMNO, Pas dan Bersatu dalam PRU-15 sama iaitu mengembalikan kekuatan kuasa politik orang Melayu tetapi ia hanya boleh dicapai jika ketiga-tiga parti mempunyai semangat setiakawan dan saling hormat menghormati.

Advertisements

Terkini

MasChain perkenal ekosistem teknologi ‘blockchain’ di Malaysia

SYARIKAT pakar teknologi blockchain, Masverse Sdn. Bhd. melancarkan MasChain, platform transformatif yang direka untuk merevolusikan ekosistem digital bagi kerajaan,...

Lagi Artikel Berkaitan