25.8 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Rabies ragut satu lagi nyawa di Sarawak

Mesti Baca


KUALA LUMPUR – Wabak rabies atau penyakit anjing gila meragut satu lagi nyawa di Sarawak, dedah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa terbaru, seorang wanita berusia 34 tahun sekali gus menjadikan jumlah kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak adalah empat orang, tahun ini.

NOOR HISHAM ABDULLAH – Foto Bernama

Menurutnya, mangsa dimasukkan ke Hospital Sibu pada 12 Oktober 2020 kerana mengalami lemah pada kedua-dua belah kaki sejak lima hari sebelum dimasukkan ke wad.

“Kes ini telah meninggal dunia pada 18 Oktober 2020 pukul 11.30 pagi dengan diagnosa rabies encephalitis

“Mangsa telah disahkan dijangkiti virus rabies melalui ujian makmal yang dijalankan oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 19 Oktober 2020,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, siasatan KKM mendapati, kawasan kediaman wanita itu berdekatan dengan tapak pelupusan sampah di mana terdapatnya banyak anjing liar yang berkeliaran. 

Katanya, dia pernah digigit oleh anjing peliharaannya pada penghujung tahun 2018 namun tidak mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan. 

“Anjing peliharaan tersebut bebas bercampur dengan haiwan lain dan tidak pernah diberi suntikan vaksin anti-rabies. 

“Haiwan ini telah dibunuh oleh orang awam susulan satu lagi kejadian di mana ianya telah menggigit seorang lagi individu. Walau bagaimanapun, tiada sampel dihantar kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak bagi ujian pengesahan jangkitan rabies pada anjing tersebut,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, kumulatif rabies di Sarawak sejak wabak rabies diisytiharkan di Sarawak pada 31 Julai 2017 sehingga 21 Oktober 2020 adalah sebanyak 26 kes.

Katanya, KKM dan JKN Sarawak komited dan akan mempertingkatkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sarawak, Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta agensi-agensi lain bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dilaksanakan secara menyeluruh.

” KKM ingin menasihati orang awam agar mengambil langkah-langkah pencegahan rabies seperti cuci bahagian yang digigit anjing atau haiwan lain menggunakan air mengalir dan sabun selama 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur.

“Mereka diminta mendapatkan rawatan segera di klinik kesihatan atau hospital terdekat jika digigit oleh haiwan peliharaan dan memastikan anjing peliharaan mendapat suntikan antirabies.

“Selain itu, jika anjing atau kucing peliharaan didapati berubah tingkahlaku termasuk agresif, dapatkan rawatan segera di klinik haiwan dan laporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar berhampiran serta sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti amalan cuci tangan dengan betul,” tambahnya.

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan