27 C
Kuala Lumpur
Friday, June 18, 2021

Gencatan politik: Mesej untuk Zahid, impian Anwar lebur

Must Read

Zulkiflee Bakar
Bekas Penolong Pengarang Utusan Malaysia dan Pengarang Sinar Harian. Mempunyai pengalaman lebih 35 tahun dalam bidang kewartawanan.

PENDIRIAN UMNO untuk melakukan gencatan politik dan mendukung Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah kepemimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menutupi segala spekulasi yang bertebaran selepas parti itu sebelum ini menyatakan menimbang untuk menarik diri daripada perikatan tersebut.

Soal menarik diri itu telah menimbulkan suasana panas dalam arena politik negara apatah lagi ia dilakukan tidak sampai beberapa hari Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan dokumen sahih dan akuan bersumpah bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti untuk menubuhkan kerajaan dan menjadi Perdana Menteri.

Pada sidang akhbarnya, 13 Oktober lalu selepas majlis menghadap itu, Anwar mengulangi kenyataan yang dibuat pada 23 September bahawa beliau turut mendapat sokongan beberapa ahli Parlimen daripada UMNO.

Kenyataan Ketua Pembangkang itu mewujudkan ketegangan dalam UMNO. Parti itu dikatakan berpecah dua dan ia semakin panas apabila tular pula surat yang didakwa ditandatangani Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi menyatakan sokongan kepada Anwar.

Ibupejabat UMNO dengan tegas mennafikannya dan menganggap penyebaran surat berkenaan sangat melampau dan berniat jahat bagi merosakkan imej Presiden UMNO itu.

Bagaimanapun sebuah portal berita, semalam tetap mengaitkan isu surat itu dengan pengumuman gencatan politik oleh Ahmad Zahid.

Mengikut laporan portal tersebut, terdapat ketegangan di PWTC dengan pengerusi UMNO negeri marah disebabkan pemimpin tertinggi parti secara sepihak menyokong Anwar menggulingkan Kerajaan Perikatan Nasional yang mana UMNO merupakan sebahagian daripadanya.

Kita tidak pasti sejauh manakah kebenaran laporan itu, biarpun ia nampak cukup menyakinkan.

Tetapi apa yang pasti Ahmad Zahid mendapat mesej sebagai Presiden UMNO, beliau perlu tegas dan jelas apabila menyatakan pendirian parti dalam sesuatu isu, bukannya membuat kenyataan yang boleh menimbulkan spekulasi, mewujudkan persepsi.

Contohnya, apabila Anwar pada 23 September menyatakan turut mendapat sokongan ahli Parlimen daripada UMNO, Ahmad Zahid seharusnya membuat kenyataan tegas seperti presiden-presiden parti lain yang menolak sebarang kerjasama dengan Anwar kerana UMNO berpegang kepada keputusan Majlis Tertinggi, ‘No Anwar, No DAP’.

Tetapi Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional dalam reaksi awalnya berkata, UMNO tidak dapat menghalang mana-mana ahli Parlimen BN dan UMNO yang mengambil keputusan menyokong Presiden PKR itu.

Malah beliau juga menyatakan, ‘’ Saya dimaklumkan ramai ahli-ahli Parlimen UMNO dan BN yang telah menyatakan sokongan. Saya menghormati pendirian Ahli-Ahli Parlimen berkenaan.’’

Anwar Ibrahim ketika mengadakan sidang media di Kuala Lumpur
pada 23 September lalu.

Ia menimbulkan persoalan, apakah kenyataan itu menunjukkan beliau sudah tidak mempunyai kawalan bagi memastikan tiada ahli Parlimen UMNO atau BN melakukan pengkhianatan dengan menyebelahi pembangkang?

Persepsi seumpama itu tidak baik untuk imej politik beliau, apatah lagi jika bekas Timbalan Perdana Menteri tersebut berhasrat mempertahankan jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan parti tahun depan.

Apapun pengumuman beliau semalam mampu meredakan keadaan khususnya melibatkan hubungan UMNO dengan Bersatu.

Bagi Anwar pula pengumuman Ahmad Zahid mungkin meleburkan impian untuk menjadi Perdana Menteri kerana tanpa sokongan UMNO, beliau tidak akan memiliki majoriti yang mencukupi bagi membentuk kerajaan.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saiffudin Nasution berkata, parti itu menghormati kenyataan Ahmad Zahid.

‘’Pada masa yang sama, kami akan mengekalkan usaha ke arah mengembalikan mandat rakyat dengan kebersamaan Ahli-Ahli Parlimen yang mendokong cita-cita dan harapan yang sama…

”Iaitu untuk memperbetul halatuju kepemimpinan negara terutama dalam usaha memerangi wabak Covid-19, menyuntik semangat dan membangun semula ekonomi serta melipat gandakan usaha menyelesaikan masalah rakyat,’’ katanya.

Kalau dikaji kenyataan Saifuddin itu jelaslah, tiada apa-apa alasan untuk mana-mana ahli Parlimen UMNO menyokong atau berusaha mengadakan kerjasama dengan Anwar.

UMNO mengumumkan gencatan politik bagi memastikan agenda menangani Covid-19 dan membantu rakyat yang sedang dihimpit kesusahan dapat dilakukan.

Inilah yang diharapkan oleh rakyat. Mereka sudah bosan dan muak dengan gelagat orang politik. Dan sudah pasti pendirian UMNO ini sedikit sebanyak akan menenangkan keadaan. Kalau ada lagi yang dok berkira-kira nak tubuh kerajaan, nak jadi Perdana Menteri, biarkan mereka dengan angan-angan itu.

Bagaimanapun penulis percaya, keputusan UMNO itu tidak akan menyenangkan sesetengah pihak dan individu yang sebenarnya tidak mahu Perikatan Nasional stabil, khususnya melibatkan UMNO dan Bersatu.

Mereka akan memberi pandangan, komen yang bertujuan untuk menggugat kerjasama dalam perikatan tersebut, biarkan saja…maklumlah orang yang tak ada kerja selepas hilang kuasa atau kalah masa pilihan raya, nak buat apa lagi kan…

Yang pastinya UMNO perlu memperkukuhkan Kerajaan Perikatan Nasional dengan memastikan sokongan padu diberikan kepada pembentangan Bajet 2021 pada 6 November ini, jangan ada yang mahu ‘bermain mata’ dengan pembangkang kerana tiada alasan untuk mereka berbuat demikian kecuali demi kepentingan peribadi.

Latest News

Pelaksanaan PdPR mesti ditambah baik segera

Oleh DR ANUAR AHMAD PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Pelan Pemulihan Negara. Dalam pengumuman tersebut, beliau antara...

More Articles Like This