28.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

PRK Batu Sapi: Patutkah kesihatan rakyat terus dikorbankan?

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

PILIHAN raya datang lagi di Sabah. Kali ini di Parlimen Batu Sapi walhal negeri itu baru sahaja selesai mengadakan pilihan raya negeri 26 September lalu.

Kali ini pilihan raya kecil (PRK) perlu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong akibat jangkitan pada paru-paru pada 2 Oktober lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah menerima notis kekosongan Parlimen tersebut daripada Speaker, dan PRK perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.

Batu Sapi terletak dalam daerah Sandakan, di timur Sabah iaitu salah satu kawasan zon merah ekoran wabak Covid-19.

Akibat PRN Sabah baru lalu, jumlah kes Covid-19 naik mendadak, malah mencatatkan jumlah lebih tinggi berbanding Mac lalu.

Ini diakui sendiri oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khasnya semalam.

Sandakan, Papar dan Tuaran di Sabah serta Klang, Selangor kini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pilihan Raya Negeri Sabah bulan lalu menjadi punca peningkatan kes Covid-19 kali ini. – Gambar hiasan/Awani

Dalam keadaan sekarang, apakah parti-parti politik masih lagi mahu mengorbankan kesihatan rakyat semata-mata untuk merebut satu kerusi yang kosong?

Tidak bolehkah jika memberi laluan kepada parti Warisan mengekalkan kerusi di Batu Sapi tanpa ada sebarang pertandingan?

Setakat ini hanya Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sahaja yang mengesyorkan agar Barisan Nasional (BN) tidak meletakkan sebarang calon mengambil kira keadaan Covid-19 yang sudah menghampiri 700 kes.

Malah gesaan itu turut ditujukan kepada semua parti politik lain termasuk Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi mengekalkan status quo Parlimen itu di bawah Warisan.

Cadangan yang dikemukakan sayap UMNO itu ada kewajarannya.

Dalam keadaan rakyat semakin bimbang dengan wabak Covid-19 yang menular terutama di Sabah, adalah elok sekiranya semua pihak memberi tumpuan menangani wabak tersebut.

Lagi pula andai sekadar satu kerusi yang menjadi rebutan, ia langsung tidak menjejaskan kedudukan kerajaan hari ini memandangkan kerusi yang dipertandingkan sememangnya milik pembangkang.

Memang benar kedudukan Parlimen hari ini hampir 50:50 yang mana Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan PN melebihi dua atau tiga orang sahaja berbanding pihak pembangkang.

Namun jika PN menang, kalah atau memberikan laluan kepada Warisan sekali pun, langsung tidak memberi impak kepada kedudukan kerusi dalam Parlimen.

Jika Warisan menang atau diberi kemenangan tanpa bertanding, kerajaan PN kekal selamat dan jika ada pertanding, Parlimen itu dirampas oleh kerajaan, kedudukan pembangkang juga tidak terjejas.

Justeru, parti-parti politik termasuk calon-calon bebas tidak perlulah gigih untuk membuka gelanggang pertandingan di Batu Sapi. Fikirlah kesihatan rakyat.

Janganlah diharap SOP yang dijanji untuk dipatuhi kerana PRN Sabah baru-baru ini sudah membuktikannya dan kesannya hari ini jumlah kes Covid-19 kembali meningkat di seluruh negara.

Bila keadaan itu timbul, orang politik mula saling tuduh menuduh, saling menuding jari, mengaku diri sendiri yang bersalah tidak sama sekali.

Yang merana adalah rakyat yang kini tidak boleh keluar bekerja atau mencari nafkah untuk anak isteri lantaran pelaksanaan PKPB.

Tidak, tidak… jangan dikorbankan lagi rakyat Sabah sepertimana mereka dikorbankan untuk memenuhi hasrat orang politik untuk berkuasa atau mengekalkan kuasa mereka sebelum ini.

Lebih baik semua pihak memberi tumpuan menangani wabak Covid-19 dan berilah laluan kepada wakil Warisan untuk mengekalkan kerusi yang dimenangi mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Dalam keadaan sekarang tidak berbaloi untuk mengorbankan ribuan rakyat hanya kerana satu kerusi. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan