29.2 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Pemuda UMNO gesa gencatan politik demi rakyat

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Ketika suhu politik atau lebih tepat lagi, hubungan antara UMNO dan Bersatu sedang tegang manakala beberapa parti bercadang mengemukakan usul tidak percaya kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pergerakan Pemuda UMNO hari ini menggesa supaya gencatan politik dilakukan.

Ketuanya, Datuk Dr.Asyraf Wajdi Dusuki berkata, langkah itu perlu dilakukan bagi memikirkan solusi terbaik untuk mensejahterakan rakyat.

‘’Mungkin inilah saat terbaik kita sama-sama meletakkan perbezaan yang ada ke tepian, demi memberikan penumpuan kepada agenda Perdamaian Nasional,’’ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berikut kenyataan penuh beliau:

Senario semasa benar-benar meresahkan semua. Kes Covid-19 kian meningkat, rakyat makin susah, ekonomi negara makin menguncup, penggaguran makin memuncak, ramai hilang punca pendapatan bahkan ada jatuh papa kedana.

Ramai yang saya temui menyatakan kebimbangan dengan unprecedented phenomenon atau fenomena unik yang tidak pernah dialami, namun begitu mencabar dan mengancam kesejahteraan semua.

Advertisements

Sudah tiba masanya, ahli-ahli politik tidak kira mewakili parti mana sekalipun melakukan gencatan politik untuk memikirkan solusi terbaik bagi mensejahterakan rakyat.

Mungkin inilah saat terbaik kita sama-sama meletakkan perbezaan yang ada ke tepian, demi memberikan penumpuan kepada agenda Perdamaian Nasional (National Reconciliation).

Yang dimaksudkan dengan Agenda Perdamaian Nasional ini bukanlah bermakna kita mencairkan identiti mahupun ideologi perjuangan parti masing-masing.

Sebaliknya Agenda Perdamaian Nasional ini memberikan keutamaan kepada parti-parti politik untuk menangguhkan seketika persengketaan yang tajam dalam soal perebutan kuasa.

Segala kudrat, kecerdasan minda dan sumber daya yang ada digemblengkan bersama untuk mendatangkan formula terbaik bagi membantu rakyat yang dihimpit segala keperitan lantaran dampak Covid-19 yang kian mencengkam.

Agenda Perdamaian Politik juga adalah manifestasi ketulusan kepimpinan setiap parti siasah untuk menzahirkan nilai perjuangan sebenar yang bukan hanya seputar perebutan takhta tetapi benar-benar untuk membantu rakyat.

Perlu ada political will (iltizam politik), political commitment (komitmen politik) dan political sincerity (kejujuran politik) yang jitu untuk menjayakan agenda ini secara bersama.

Jangan nanti kita dihukum oleh rakyat yang semakin mual dengan sikap politikus yang berterusan berbalah isu-isu politik kuasa bagaikan tiada penghujung. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan