Pasca PRN Sabah: 348 kes Covid-19 di Labuan dalam masa 33 hari

KUALA LUMPUR – Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan sebanyak 348 kes Covid-19 dalam tempoh 33 hari selepas tamat Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, baru-baru ini berbanding keseluruhan kes positif di kawasan itu sebanyak 375 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan kes Covid-19 yang tinggi bermula daripada pasca PRN Sabah iaitu sejak 27 September hingga 28 Oktober 2020.
Menurutnya, susulan daripada peningkatan kes tersebut, kes aktif Covid-19 di Labuan adalah berjumlah 243 kes.
“Kes dijangkakan boleh mencecah 300 kes susulan program saringan bersasar yang sedang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, bagi menampung jumlah kes yang tinggi, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan (JKWP) Labuan telah berjaya membuka pusat rawatan Covid-19 berisiko rendah ke dua di Dewan Perbadanan Labuan dengan kapasiti 140 katil dalam masa 24 jam.
Beliau menjelaskan, ia bagi menjadikan keupayaan rawatan Covid-19 di Labuan menjadi 317 katil dalam satu-satu masa.
“Pusat ini akan beroperasi sepenuhnya pada hari ini iaitu pada 29 Oktober 2020.
“Kejayaan ini hasil kerjasama dan rundingan JKWP Labuan bersama aganesi-agensi di Labuan termasuk MKN, Polis, Institut Latihan Perindustrian, Perbadanan Labuan dan NGO termasuk Taiwan Buddist Tzu-Chi Foundation Malaysia , Crest Mutiara Billion Sdb Bhd dan orang orang perseorangan,” tambahnya.