25.4 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

MB Selangor terkejut satu negeri kena PKPB

Mesti Baca


KUALA LUMPUR –  Kerajaan Negeri Selangor terkejut dengan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang mengisytiharkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri Selangor, Kuala Lumpur serta Putrajaya dan akan menghantar cadangan balas agar dapat dipertimbangkan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pengumuman itu agak mengejutkan kerana keputusan mesyuarat MKN hari ini hanya menunjukkan Klang, Gombak, Hulu Langat dan sebahagian Petaling yang mempunyai bilangan kes yang membimbangkan.

“Kerajaan negeri berpandangan bahawa beberapa kawasan yang masih dikategorikan zon hijau dan kuning seperti Sabak Bernam dan Kuala Selangor adalah masih terkawal.


“Oleh itu, kerajaan negeri akan menghantar cadangan balas kepada pihak MKN dengan segera agar dapat diberi pertimbangan semula,” kata Amirudin dalam satu kenyataan.

ISMAIL SABRI YAAKOB

Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPB di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor berkuat kuasa pukul 12.01 tengah malam, 14 Oktober dan dijadual berakhir pada 27 Oktober 2020.


Ismail Sabri berkata, sepanjang tempoh itu, kesemua penduduk tidak dibenarkan keluar rumah dan tiada pergerakan rentas daerah kecuali atas urusan kerja yang perlu mendapat surat kebenaran majikan selain kes-kes kecemasan dengan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

“Keputusan itu dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil kira peningkatan kes Covid-19 dan penularan yang berlaku seperti di Klang, Petaling, Gombak dan daerah-daerah lain yang kebanyakannya telah diisytiharkan sebagai zon merah,” katanya hari ini.

Ismail Sabri memberitahu, sepanjang tempoh PKPB,  kesemua sekolah, institusi pendidikan, institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, tadika, taska, pusat tahfiz juga ditutup sepenuhnya.

Menurutnya, hanya dua orang sahaja dari sebuah rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan 

“Masjid dan rumah ibadat bukan Islam lain ditutup. Pusat hiburan dan kelab malam juga tidak dibenarkan beroperasi.

“Semua aktiviti sukan, rekreasi, sosial dan budaya termasuk majlis perkahwinan tidak dibenarkan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, semua kegiatan ekonomi di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bagaimanapun masih dibenarkan beroperasi seperti biasa.

“Senarai SOP lanjut dan lebih terperinci akan diumumkan oleh MKN dalam masa terdekat,”katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, PKPB akan dilaksanakan di seluruh Sabah bermula tengah malam ini berikutan penularan jangkitan Covid-19.

“PKPB di seluruh Sabah berkuatkuasa jam 12.01 tengah malam ini hingga 26 Oktober.

“Pergerakan keluar masuk merentas daerah tidak dibenarkan. Bagaimanapun, bagi pekerja yang perlu merentas daerah, mereka perlu menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran majikan.

Hanya dus orang dari sebuah rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan,” katanya pada sidang media hari ini.

Ismail berkata, semua institusi pendidikan dan rumah ibadat diarah tutup.

“Semua sekolah, institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, tadika, taska, pusat tahfiz, taman awam dan pusat rekreasi ditutup manakala pusat hiburan dan kelab malam tidak dibenarkan beroperasi,” katanya.

Beliau berkata, pasar borong, pasar harian dibenar beroperasi dari 6 pagi hingga 2 petang, manakala kedai barang keperluan, kedai runcit, restoran, kedai makan, warung dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 6 petang untuk pembelian secara pandu lalu dan penghantaran.

“Semua aktiviti sukan, rekreasi, sosial dan budaya termasuk majlis perkahwinan tidak dibenarkan. Kegiatan sektor ekonomi, industri dan perniagaan dibenarkan
beroperasi seperti biasa namun perlu mematuhi SOP ketat dikeluarkan oleh MKN.

“Perkhidmatan teksi e-panggilan dan penghantaran makanan dibenarkan dari 6 pagi hingga 8 malam, sementara perkhidmatan bas ekspres dan henti-henti tidak dibenarkan beroperasi,” katanya.

Katanya, klinik dan hospital kerajaan dibenarkan beroperasi 24 jam, sektor perikanan, perladangan dan pertanian juga dibenarkan.

“Bagi sektor perniagaan dan perkilangan termasuk industri kecil dan sederhana (IKS) yang ingin beroperasi boleh memohon daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah,” katanya.

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan