30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

‘Mael Totey The Movie’ jadi fenomena, raih RM2.56j empat hari tayangan

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Siapa sangka, daripada hanya menghasilkan segmen drama spontan di YouTube, filem pertama arahan personaliti media sosial, Syahmi Sazli bertajuk Mael Totey The Movie berjaya meraih RM2.56 juta dalam tempoh empat hari tayangan sejak Khamis lalu.

Pencapaian itu nyata mengejutkan Syahmi selaku pengarah dan penerbit filem berkenaan kerana menurutnya, dia tidak menyangka Mael Totey The Movie menerima sambutan luar biasa daripada penonton.

Untuk itu Syahmi berkata, dia mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penonton, peminat, pengikut mereka serta semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung yang memberi sokongan padu pada filem berkenaan.

“Saya juga ingin merakamkan ucapan penghargaan terima kasih buat pihak Astro serta radio yang banyak membantu dan memberi sokongan dari fasa produksi sehingga fasa promosi sekarang ini.

“Tidak dilupakan buat rakan media yang tidak putus-putus menghebahkan karya-karya saya selama ini. Saya tidak menyangka filem arahan pertama saya akan mendapat sambutan luar biasa.

“Fenomena yang tercetus ini memberi semangat baharu buat saya untuk terus menghasilkan karya yang lebih baik,” katanya yang dipetik mStar Online.

Pencapaian Mael Totey The Movie meraih kutipan paling tinggi di platform Astro First itu sekali gus memecah rekod terdahulu yang dipegang oleh filem Syif Malam Raya.

Mael Totey The Movie mengangkat genre drama komedi dan mengisahkan seorang pemuda lurus bendul, Mael yang berusaha pelajari Bahasa Inggeris demi memenuhi syarat gadis idamannya, Yaya.

Bagaimanapun Mael bertemu cinta sejatinya bersama cikgu Bahasa Inggeris yang mengajarnya.

Konflik antara Mael, cikgu dan Yaya diselesaikan oleh empat remaja istimewa, Asif, Yoe, Yatin dan Bedul.

Filem itu membariskan selebriti Youtube Yoe Parey, Asif Suhaimi, Emaleen Minhad, Aween Ismail, Ewan, serta pelakon tanah air seperti Hushairi Hussain, Daler Yusof, Aznah Hamid dan Kamarool Yusoff.

Mael Totey The Movie boleh ditonton menerusi saluran Astro First.

Sementara itu Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, pihaknya sentiasa komited dalam membantu membuka ruang buat penerbit tempatan untuk menayangkan karya kepada penonton sasaran dalam tempoh sekarang ini.

Katanya, inisiatif itu dilihat mampu memberi jalan positif untuk menjana semula ekonomi dalam industri hiburan, meskipun panggung wayang tidak beroperasi sepenuhnya kerana penularan wabak Covid-19.

“Sesuatu yang agak istimewa tentang Mael Totey The Movie, ia merupakan hasil filem pertama produksi dan arahan bakat kreatif, Syahmi Sazli dan kejayaan ini telah menambahkan lagi sinar harapan baru buat industri perfileman tempatan yang terjejas akibat Covid-19.

“Disamping itu, kejayaan ini juga secara tidak langsung telah melahirkan bakat baru dan menjadi game changer di dalam industri di mana seorang YouTuber berusaha memajukan diri ke tahap yang lebih tinggi.

“Sokongan positif diberikan oleh para penonton mendorong pihak kami untuk membawakan lebih banyak filem yang dilihat berpotensi sebagai karya terbaik dan menepati cita rasa penonton,” tambahnya

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan