JAKARTA – Tindakan seorang lelaki membawa seekor ular sawa besar ke Pejabat Pekerjaan Umum dan Penataan Ruang (PUPR) Bandung Barat Isnin lalu bagi meminta kuota projek jabatan itu mengundang padah apabila dia ditahan polis.
Agensi berita Antara News melaporkan, lelaki yang hanya dikenali dengan nama JH ditahan Unit Siasatan Jenayah Polis Cimahi dan dinamakan sebagai suspek susulan perbuatannya itu.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Cimahi , AKP Yohannes Redhoi Sigiro berkata, JH didakwa mengikut artikel ancaman kerana membawa seekor ular sawa besar.
“Suspek membawa ular itu dipercayai mahu meminta projek daripada Ketua PUPR,” katanya kelmarin.
Bagaimanapun Yohannes berkata, perbuatan suspek berjaya dihalang apabila anggota polis dari Bandung Barat bergegas ke lokasi bagi mencegah kejadian tidak diingini.
“Dia mengejar Ketua PUPR sehingga memasuki biliknya sambil membawa seekor ular.
“Sejurus selesai berurusan, Ketua PUPR itu bergegas keluar untuk solat sebelum kembali menyambung tugasnya,” katanya.
Terdahulu, video suspek kira-kira seminit itu tular di media sosial.
Klip itu turut menunjukkan seorang lelaki berkepala botak menghentak meja di hadapan Pejabat Pekerjaan Umum dan Penataan Ruang (PUPR) Bandung Barat, Anugrah kerana dia tidak mendapat projek kerajaan selama dua tahun. – AGENSI