29.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Tutup sekolah berdasarkan penelitian data dan perbincangan – KPM

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Sebarang keputusan yang dibuat oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) termasuk menutup sekolah adalah berdasarkan penelitian yang mendalam terhadap data yang ada serta perbincangan terperinci dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). 

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin berkata, beliau menghargai saranan dan sedar kegusaran serta kebimbangan ibu bapa yang mempunyai anak bersekolah.

DR RADZI JIDIN

“Saya menerima banyak pandangan dan cadangan daripada pelbagai pihak mengenai keperluan menutup sekolah apabila terdapat peningkatan kes penularan Covid-19.

“Kami di KPM sentiasa memantau rapat keadaan di sekolah seluruh negara,” katanya di Facebook malam tadi.

Radzi menjelaskan, mungkin ada yang melihat dalam keadaan tertentu KPM seolah-olah lambat membuat keputusan namun hakikatnya tidak begitu.

Menurutnya, tiada siapa di dunia ini berpengalaman menangani krisis Covid-19 kerana ianya tidak pernah berlaku. 

Namun tegas beliau, KPM telah mula belajar beberapa bulan kebelakangan ini apakah pendekatan yang sesuai dalam suasana dan keadaan tertentu. 

“Alhamdulillah, pengalaman mengajar kita untuk membuat sesuatu dengan lebih baik. Menaungi lebih lima juta orang murid sekolah, pelajar Matrikulasi dan IPG, lebih 500,000 orang guru, pensyarah dan kakitangan, serta lebih 10,000 buah sekolah memerlukan pendekatan yang cermat. 

“Kita belajar bahawa ketelitian adalah amat penting dalam melahirkan keputusan yang tepat dan jitu. Sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) mula dilaksanakan, walaupun terdapat kekurangan di sana sini, secara keseluruhannya pengoperasian institusi pendidikan dibawah KPM di sepanjang tempoh ini berjalan dengan baik. 


“Terima kasih saya ucapkan kepada semua ibu bapa, guru, murid, PIBG, warga sekolah dan warga KPM secara keseluruhannya.


Sementara itu, Radzi berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas beliau pada 6 Oktober 2020 menyatakan bahawa kerajaan akan menutup sekolah di kawasan zon merah di seluruh negara. 


Ujarnya, bagi mengelakkan sebarang kekeliruan, KPM akan terlebih dahulu mendapatkan pengesahan kawasan zon merah daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum mengumumkan penutupan sekolah di kawasan tersebut. 

“Hari ini KPM mendapat pengesahan daripada KKM bahawa kawasan Klang, Selangor serta di Sandakan, Papar dan Tuaran, Sabah adalah kawasan zon merah. Sehubungan itu, petang tadi KPM telah mengumumkan bahawa sekolah di kawasan tersebut akan ditutup bermula esok 8 Oktober 2020 sehingga 23 Oktober 2020,” katanya.


Beliau menambah, sepertimana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri dalam perutusan khas beliau, sebarang keputusan mengenai penutupan sekolah di seluruh negara, jika perlu, akan dibuat di peringkat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan Covid-19 setelah menerima nasihat daripada KKM.

Terkini

Pengawal keselamatan dituduh bunuh anak berusia 6 bulan

SEORANG pengawal keselamatan yang sebelum ini disyaki mendera bayinya, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini atas...

Lagi Artikel Berkaitan